in

Tahun 1975. Ini Amalan RAHSIA Syed Mokhtar Jadi Kaya Raya Yang Ramai Tak Tahu

Semoga Ramai Jutawan Melayu Islam Contohi Peribadi Syed Mokhtar Ini. InsyaAllah Amin.

Tahun 1975. Ini Amalan RAHSIA Syed Mokhtar Jadi Kaya Raya Yang Ramai Tak Tahu | Siapa tak kenal dengan Syed Mokhtar kan, bilionair Melayu terkaya di Malaysia. Seperti didedahkan wartawan, sejak tahun 1975, ini amalan beliau jadi kaya yang ramai tak tahu.

SYED MOKHTAR SEDEKAH SEPARUH GAJINYA KEPADA KELUARGA MISKIN

TS Syed Mokhtar tidak menunggu menjadi baru kaya baru hendak bersedekah.

Semasa mula berniaga beras lagi pada tahun 1975, separuh dari pendapatannya yang berjumlah RM1,500 pada masa itu diberikan kepada keluarga-keluarga miskin.

Nilai RM750 pada waktu itu bersamaan dengan kira-kira RM3,000 pada masa sekarang.

Pada tahun 2014, Forbes Asia menyenaraikan beliau di dalam senarai Heroes of Philanthropy kerana telah menyumbangkan RM1.9 bil untuk kerja-kerja amal. (Sumber: FB Mazlan Mohamad)

KISAH RINGKAS PERJALANAN HIDUP SYED MOKHTAR

“SEMUA ini harta Allah, saya cuma menguruskannya sahaja. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain.

“Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana sangat. Islam agama yang adil, ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik,” ujar tokoh konglomerat bumiputera tanah air, Tan Sri Syed Mokhtar al Bukhary, 55.

Beliau yang disenaraikan oleh majalah ekonomi dan perniagaan antarabangsa ”Forbes”, sebagai individu ketujuh terkaya di negara ini, memiliki harta bernilai AS$2 billion (RM6.6 billion), hanya menggunakan sebuah Proton Perdana untuk ke mana-mana dan hanya belajar hingga ke tingkatan lima serta mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

Sikapnya yang sentiasa menyumbang kepada masyarakat, dan pada masa yang sama, mengamalkan resam padi, semakin tunduk semakin berisi menyebabkan beliau amat dihormati masyarakat.

Sumbangannya kepada masyarakat bermula apabila ibu beliau menyuruh memberikan sebahagian elaun pertamanya (RM750), sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar lampu kerosin ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan Ramadan.

LATAR BELAKANG KEHIDUPAN

Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke kawasan Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand sebelum mengambil keputusan untuk menetap di Alor Setar, Kedah pada tahun1940-an.

Tokoh perniagaan ini mempunyai tujuh orang adik beradik dan beliau merupakan anak yang ketiga.

Ketika kecil, beliau hidup dengan serba kekurangan hinggakan kediamannya di Kampung Hutan Keriang, Kedah, tidak mempunyai katil, malah kerusi atau meja. Kesempitan wang menyebabkan keluarganya menghantar beliau tinggal bersama bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahu, untuk bersekolah di sana.

Syed Mokhtar menetap di Johor Bahru dan meneruskan persekolahannya hingga ke tingkatan dua di sana, sebelum kembali semula ke Kedah dan belajar hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal’s.

Seperkara yang unik, malah boleh dianggap sebagai penglibatannya secara terus dalam bidang perniagaan ialah apabila beliau membuat simpan kira (akaun) untuk perniagaan ayahnya. Ia berlaku pada waktu rehat, apabila ayahnya akan pergi ke sekolah dan memintanya membuat simpan kira berkenaan. Pengalaman yang amat berharga ini merupakan antara asas kukuh yang dimilkinya sebelum terjun ke bidang perniagaan sebenar.

Selepas waktu sekolah pula, Syed Mokhtar akan membantu ayahnya mengembala haiwan di pusat kuarantin berhampiran stesen keretapi Alor Setar.

Beliau tidak pernah mendapatkan pengajian ke universiti akibat kesempitan wang, namun ia tidak menghalangnya untuk menjalankan perniagaan. Syed Mokhtar juga bijak menggunakan pengalaman semasa membantu ayahnya berniaga sebagai rujukan.

Selain melibatkan diri dengan perniagaan ayahnya, Syed Mokhtar juga membantu ibunya menanam sayur untuk di jual di sebuah pasar di Jalan Telok Wan Jah. Malah, orang ketujuh terkaya di Malaysia ini juga, pernah menjual roti canai di pasar berkenaan.

MULA BERNIAGA

Pada pertengahan tahun 1970-an, perniagaan ternakan bapanya berdepan masalah besar ekoran tercetusnya wabak kaki tangan dan mulut. Wabak berkenaan merebak ke seluruh selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Akibatnya, hampir kesemua binatang ternakannya mati begitu sahaja.

Kejadian berkeaan sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri. Sejak itu, Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya serta memutuskan untuk tidak lagi berkecimpung dalam bidang penternakan. Sebaliknya, membuat keputusan untuk berniaga daging.

Sebagai permulaan, pada usia 19 tahun, Syed Mokhtar akan pergi ke pasar-pasar di sekitar Alor Setar dan membeli daging yang tidak terjual daripada para peniaga di sana. Daging berkenaan kemudiannya dijual kembali kepada para peniaga bumiputera di kawasan sekitar.

Meskipun daging berkenaan adalah merupakan yang tidak terjual, namun Syed Mokhtar telah membungkusnya kembali dengan lebih baik, malah diletakkan bersama ais bagi mengekalkan kesegarannya. Justeru, menggunakan pengalamannya sebelum itu bersama produk yang berkualiti, perniagaannya itu mendapat sambutan menggalakkan. Kejayaannya itu membuatkan semangatnya untuk mengembangkan perniagaannya semakin berkobar-kobar.

Selepas itu, Syed Mokhtar beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Selepas berjaya mendapatkan permit bagi empat buah lori kelas A pada tahun 1972, Syed Mokhtar mendapatkan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk membeli dua buah lori Mercedes Benz.

Pada awalnya, beliau bercadang untuk mendapatkan empat buah lori, namun tidak kesampaian akibat masalah teknikal menyebabkan beliau masih mempunyai dua baki permit.

Seorang peniaga berbangsa Cina kemudiannya menawarkannya sejumlah wang untuk membeli baki dua buah permit berkenaan, bagaimanapun Syed Mokhtar tidak bersetuju dengan tawaran berkenaan, lalu memutuskan untuk memulangkannya kepada MARA.

Beliau kemudiannya membuka perniagaan pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik seorang kerani berbangsa Cina sebagai pengurusnya. Menariknya, syarikat tersebut masih wujud hingga kini.

Daripada sebuah syarikat kecil yang menawarkan pengkhidmatan mengangkut beras, ia kini memiliki lebih 40 buah lori untuk pelbagai tujuan.

PENUBUHAN SYARIKAT BERAS

Apabila Syarikat Pengangkutan Sentosa semakin berkembang maju, Syed Mokhtar kemudiannya membeli sebuah rumah kedai di kawasan yang sama di mana beliau pernah membantu ibunya menjual sayur (pasar Tok Wan Jah).

Tidak lama kemudian pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah selepas memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas.

Berdasarkan pengalamannya dalam perniagaan pengedaran beras, beliau berjaya mendapatkan kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ).

PERNIAGAAN BERKEMBANG

Selepas menubuhkan Syarikat Shah, beliau menubuhkan pula Syarikat Bukhary yang juga terlibat dalam perniagaan beras dan gula. Seperti Syarikat Pengangkutan Sentosa, Bukhary masih wujud dan masih berkembang hingga kini dengan pendapatan tahunan sekitar RM250 juta!

Syarikat berkenaan kemuidiannya dikembangkan kepada Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat ini kemudiannya Berjaya mendapatkan banyak kontrak kerajaan yang ditawarkan kepada peniaga bumiputera ketika itu dan menjalankan operasinya di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang.

Oleh kerana perniagaan itu semakin berkembang maju, beliau kemudiannya mengubahsuai bahagian bawah pejabatnya kepada ruang pembungkusan bagi coklat, tepung dan teh kepada kerajaan. Beliau kemudiannya menubuhkan pula syarikat Susu Mas Sdn. Bhd (Susu Mas) pada tahun 1979 untuk melicinkan urusan pembekalan bahan kepada kerajaan.

Seperti Bukhary, Susu Mas juga merupakan sebuah syarikat usahasama, kali ini dengan New Zealand Milk Products. Beliau memegang 51 peratus saham di dalamnya. Produk Susu Mas dipasarkan di bawah jenama Fernleaf. Bagaimanapun, ekoran kemelesetan ekonomi yang melanda negara pada hujung tahun 80-an, beliau mengambil keputusan menjual kepentingannya di dalam syarikat berkenaan.

AMTEK, CROCODILE, DAN LOUIS

Sekitar tahun 1980-an dan 1990-an, menyaksikan beliau mula menceburkan diri dalam perniagaan pakaian dan pembuatan pula. Bintangnya terus bersinar cemerlang apabila berjaya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera untuk Kementerian Pertahanan. Menerusi kontrak berkenaan, syarikatnya dikehendaki membekalkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan lebih 100,000 pasang kasut serta 330,000 pasang pakaian seragam.

Kejayaan itu membuatkan beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan dua syarikat pakaian iaitu Amtek Holdings (Amtek) yang mengeluarkan kasut, manakala dan Oriental Garments Uniform Division (Oriental) bagi mengeluarkan pakaian. Oriental merupakan satu lagi syarikat kerjasama miliknya. Kali ini dengan Oriental Garments di Pulau Pinang.

Meskipun Amtek kemudiannya berjaya disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur pada 1998, beliau masih tidak berpuas hati, malah mahu mengembangkan lagi empayar peniagaannya.

Syed Mokhtar seterusnya membeli jenama Sparkmanshop dan hak untuk memasar dan mengeluarkan barangan Crocodile. Crocodile kini mempunyai pelbagai variasi pakaian baik untuk wanita mahupun lelaki seperti, baju kemeja, seluar, tali pinggang, dan kasut.

Terbaru, anak syarikat Amtek, Amtek Shoes mengeluarkan kasut untuk kegunaan ATM dan pakaian jenama Lee Cooper serta Louis. Pasti ramai antara kita yang menggunakan jenama-jenama yang disebutkan di atas tanpa menyedarinya, bukan?

Sebenarnya, empayar perniagaan Syed Mokhtar terlalu luas, bukan sekadar daging, beras, gula dan pakaian sahaja, malah turut merangkumi beberapa industri berat di negara ini.

Beliau menubuhkan Bukhari Shipping untuk urusan pengangkutan barangan terutamanya makanan dari Sabah dan Sarawak ke Thailand dan sebaliknya. Bermodalkan AS1 juta, beliau membeli sebuah kapal terpakai buatan Jerman yang dinamakan semula sebagai Angsa Mas.

Ketika menguruskan Bukhari Shipping, Syed Mokhtar mula berjinak-jinak dengan bidang hartanah apabila membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan membangunkan beberapa projek pembinaan di sana.

Syed Mohkhtar turut mempunyai 22.7 peratus kepentingan dalam Malakoff Berhad, syarikat penjana kuasa tenaga bebas (IPP) serta 20 peratus dalam IJM Corporation yang menjalankan perniagaan pembangunan hartanah, pelombongan dan pertanian.

Pada tahun 2000, IJM memenangi anugerah Kontraktor Antarabangsa Terbaik Malaysia dan pada tahun berikutnya Syarikat Pembinaan Terbaik Malaysia atas kecemerlangannya.

Selain itu, beliau turut memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras serta 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu badan gabungan perniagaan yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Beliau juga memiliki 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik di negara ini

Pernah membeli buku di MPH Bookstores ? Pasti ramai yang pernah. Namun ramai tidak sedar bahawa ia dimiliki sepenuhnya oleh beliau.

Selain menjalankan perniagaan dan kepentingan-kepentingan di atas, Syed Mokhtar turut terlibat dalam beberapa projek penswastaan seperti Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd.

Beliau terlibat dengan Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Selepas melibatkan diri dengan Johor Port, beliau membangunkan dan menjayakan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pelabuhan tersebut menjadi begitu maju hingga berjaya menarik begitu ramai syarikat antarabangsa berurusan di sana. Kecekapannya juga menyebabkan dua gergasi perkapalan dunia, Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan berpindah dari Singapura ke Tanjung Pelepas.

KEGAWATAN EKONOMI 1997/98

Syed Mokhtar bagaimanapun turut tidak terlepas dalam mengalami kerugian apabila Bukhari Shipping berdepan masalah. Ekoran itu, beliau terpaksa menjual Angsa Mas dan menanggung kerugian sebanyak AS$400,000. Lebih teruk, beliau telah kerugian kira-kira RM2 billion ketika kegawatan ekonomi 1997/1998 untuk melindungi beberapa kepentingan masyarakat bumiputera negara ini.

SUMBANGAN TERHADAP PENDIDIKAN GOLONGAN MUSLIM MALAYSIA

Meskipun mengecap kejayaan sebagai tokoh konglomerat bumiputera nombor satu negara, beliau tidak melupakan kewajipannya untuk membantu saudara seagamanya. Justeru, Yayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 untuk membantu golongan miskin, khususnya dalam bidang pendidikan.

Hingga kini, Yayasan al-Bukhary telah membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Yayasan ini bukan sahaja menghulurkan bantuan kepada pendududk negara ini, malah juga negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Antara projek besar yang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary bernilai RM400 juta di Kedah. Kompleks itu memainkan peranan sebagai pusat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Yayasan ini juga membangunkan Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Bangunan empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 16 buah masjid di serata negara.

Terbaru ialah projhek pembinaan Masjid Al Bukhary yang terletak di lokasi strategik berhampiran Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kedudukan masjid yang dibina dengan kos RM12.2 juta itu juga memudahkan umat Islam terutama di sekitar Jalan Hang Tuah, Jalan Pudu dan kawasan Bukit Bintang untuk beribadat.

SUMBANGAN LAIN

Terdahulu pada tahun 2000, Yayasan Al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Bermula semester November 2007 pula, Yayasan Albukhary akan menaja 28 lagi pelajar ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Yayasan al Bukhary juga kini terlibat dalam projek pembinaan Universiti Antarabangsa Albukhary bernilai RM500 juta di Kedah. Ia bakal menampung 3,000 pelajar yang terdiri daripada 70 peratus pelajar asing yang dibiayai sepenuhnya oleh yayasan ini menjelang 2009.

Pada 6 September lalu pula, Yayasan Al-Bukhary menyumbang AS$1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Lebanon bagi membantu meringankan penderitaan rakyat negara itu yang menjadi mangsa kekejaman Israel.

Yayasan ini juga sebenarnya menghulurkan bantuannya kepada organisasi bukan Islam.

Sebagai contoh, sebanyak RM1 juta telah disumbangkan oleh yayasan ini bagi Projek Langkawi, usaha yang dipelopori MCA bagi dalam bidang pendidikan khususnya memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu di kawasan luar bandar.

Sesungguhnya, kejayaan yang dikecapi oleh Syed Mokhtar pada hari ini bukan menerusi jalan yang singkat lagi mudah. Dengan usaha yang tekun, percaya kepada kemampuan diri, dan menyakini semuanya adalah anugerah Allah, menjadikannya ikon konglomerat bumiputera yang patut dicontohi. TEKAN KONGSI.

Sumber dari: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia via Jan Zan Shah

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

Comments

comments

Isu Batu Putih. Ini Jawapan Balas Jabatan Peguam Negara Terhadap Kenyataan Apandi Ali

Diarah Ke Perlis. Ini Respons Khaled Nordin Terhadap Tindakan Zahid