Najib Ditahan SPRM. Ini Reaksi Mat Sabu Yang Buat Ramai Respek

Najib Ditahan SPRM. Ini Reaksi Mat Sabu Yang Buat Ramai Respek | Seperti dijangka, Najib akhirnya ditahan SPRM. Bila wartawan tanya, ini reaksi Mat Sabu buat ramai respek.

TERKEJUT DENGAN PENANGKAPAN NAJIB

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, terkejut apabila diajukan soalan untuk mengulas penahanan Datuk Seri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

“Betulkah? Saya tidak tahu? Bila dia ditahan? Saya tidak mahu komen,” katanya kepada media selepas mengiringi kepulangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, selepas menghadiri majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Wisma Perwira, hari ini.

Sepasukan pegawai SPRM dilaporkan menahan Najib di kediamannya di Langgak Duta kira-kira jam 3 petang tadi berkaitan siasatan SRC International Sdn Bhd.

Mohamad berkata, ketika Najib ditahan, beliau sedang sibuk berbual dengan Yang di-Pertuan Agong di meja tetamu utama di majlis berkenaan. (Sumber: Berita Harian)

NAJIB BERMALAM DI LOKAP

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditahan di lokap Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, sementara menunggu pertuduhan di mahkamah esok.

Difahamkan, kenderaan yang membawa Najib tiba jam 4 petang tadi di ibu pejabat SPRM di sini.

Sebelum itu, Najib ditahan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, jam 2.35 petang tadi.

Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan tangkapan dibuat terhadap Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd.

Menurut kenyataan itu, Najib akan dituduh jam 8.30 pagi esok di Mahkamah Kuala Lumpur.

Pada bulan lalu, Najib dua kali dipanggil memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah berkaitan SRC dan 1MDB yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Media sebelum ini melaporkan yang siasatan SPRM menemui bukti sejumlah RM42 juta (AS$10.6 juta) dipindahkan daripada dana 1MDB ke dalam akaun peribadi Najib pada akhir 2015, sebelum membuat cadangan supaya siasatan lanjut dijalankan tetapi ditolak peguam negara ketika itu.

Susulan langkah pihak berkuasa Malaysia membuka semula siasatan kes terbabit, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan terhadap 1MDB dengan kerjasama pihak berkuasa Malaysia berhubung skandal itu.

Pada 2016 dan 2017, DOJ mengambil tindakan melucutkan hak terhadap aset bernilai lebih AS$1.7 bilion yang disyaki hasil penyelewengan dana 1MDB.

Berdasarkan aduan, sejumlah lebih AS$4.5 bilion dana daripada 1MDB, didakwa diselewengkan menerusi pelbagai syarikat dan akaun bank yang terletak di Amerika Syarikat dan negara lain. (Sumber: Berita Harian)

NAJIB BAKAL DIDAKWA 10 PERTUDUHAN

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dijangka menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut sumber, Najib akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan itu esok di Mahkamah Kuala Lumpur.

Mengikut sumber mahkamah, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, Sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Difahamkan, kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudian akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dalam kenyataannya mengesahkan Najib yang ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di sini sekitar jam 2.35 petang tadi berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd akan didakwa esok pada jam 8.30 pagi.

Bekas perdana menteri itu sebelum ini hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, penyiasatan SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri. – BERNAMA (Sumber: Berita Harian)

Skandal 1MDB. Kenyataan Terkini Najib Kepada Zeti Buat Ramai Terkesima

Skandal 1MDB. Kenyataan Terkini Najib Kepada Zeti Buat Ramai Terkesima | Terkini ketika ditemui wartawan, Najib beri kenyataan mengejutkan tentang Zeti, bekas Gabenor Negara yang buat ramai terkesima. Tak sangka.

ZETI TAHU TENTANG RM2.6 BILION DALAM AKAUN

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa Tan Sri Zeti Akhtar Aziz ketika menjadi gabenor Bank Negara sedar tentang Rm2.6 bilion dalam akaunnya sebelum PRU 2013, tetapi tidak mempersoalkan perkara itu.

“Jika Bank Negara tahu tentang dana ini, dan mereka ada bayangan atau pengetahuan bahawa mungkin akan ada keraguan tentang sumbernya, mereka patut beritahu saya.

“Tetapi ia tidak berlaku. Jadi saya menyangka ia tiada masalah,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini minggu lalu.

Ditanya sekali lagi sama ada Zeti tidak membangkitkan sebarang amaran, Najib menjawab: “Tidak, tiada maklum balas daripada Bank Negara. Saya sangka semuanya baik.”

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Zeti bagi mendapatkan responsnya terhadap dakwaan itu.

Dakwaan sama turut dibangkitkan pihak lain sebelum ini.

Najib sekali lagi menyatakan wang berjumlah AS$681 juta (biasanya dirujuk sebagai RM2.6 bilion) adalah derma daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi.

Beliau juga menegaskan telah mengembalikan AS$620 juta daripada wang itu kepada pendermanya selepas PRU.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivilnya mendakwa wang tersebut berasal daripada 1MDB.

Zeti, yang bersara pada 2016 selepas 16 tahun menjadi gabenor Bank Negara, kini merupakan anggota Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Minggu lalu, beliau dilantik menjadi pengerusi kumpulan Permodalan Nasional berhad (PNB) menggantikan Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Dakwaan Sejak 2016

Terdahulu, bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Puad Zarkashi pernah menyuarakan dakwaan sama – bahawa Zeti tahu akan wang RM2.6 bilion itu – dalam satu pertemuan dengan pelajar Malaysia di Australia pada 2016.

Puad berkata pemimpin Umno telah bertemu Najib ketika skandal itu mula meletus pada 2015.

Puad berkata Najib ketika itu mengaku menerima wang tersebut dan mendakwa telah berbincang mengenainya dengan Zeti, malah Bank Negara memberi kebenaran untuk wang tersebut dibawa masuk.

Beliau berkata Najib turut memiliki dokumen kelulusan daripada Bank Negara.

Setakat ini, Zeti tidak mengulas dakwaan Najib dan Puad itu.

Zeti merupakan anggota jawatankuasa kerja yang diketuai bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyiasat wang RM2.6 bilion dan RM42 juta dalam akaun peribadi Najib. (Sumber: Malaysiakini)

ZAHID BERADA DI SPRM SELAMA 9 JAM

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selesai memberi penjelasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas hampir sembilan jam berada di dalam bangunan agensi penguat kuasa terbabit hari ini.

Bercakap kepada media selepas itu Ahmad Zahid berkata SPRM hanya merekodkan keterangan beliau berhubung pertemuannya dengan anggota keluarga diraja Arab Saudi yang didakwa menderma sejumlah besar wang kepada Datuk Seri Najib Razak.

Untuk rekod bekas timbalan perdana menteri itu tiba di bangunan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 9.50 pagi tadi ditemani seorang pengawal.

Tiada peguam dilihat menyertai pertemuan berkenaan. Beliau kemudian keluar dari bangunan itu kira-kira jam 6.30 petang.

Bercakap kepada media, Ahmad Zahid yang baru saja disahkan sebagai pengganti Najib bagi mengepalai Umno berkata pegawai SPRM menjalankan tugas mereka secara profesional.

Katanya pegawai penyiasat juga memberikan ruang kepada beliau untuk memberikan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

“Saya amat yakin isu-isu yang berkaitan dengan menyebabkan persepsi negatif kepada masyarakat akan dapat dirungkaikan di SPRM pada waktu yang mereka akan tentukan,” katanya.

Anggota parlimen Bagan Datuk itu dijangka kembali sekali lagi ke SPRM esok.

Kali ini Ahmad Zahid akan diambil keterangan berhubung tuduhan beliau menyalahgunakan dana sebuah badan – dikenali sebagai Yayasan Akal Budi – yang dimiliki keluarganya. (Sumber: Malaysiakini)

Najib Dedah KISAH Di Sebalik Jam Paling Mahal Yang Dirampas. TAK SANGKA

Najib Dedah KISAH Di Sebalik Jam Paling Mahal Yang Dirampas. TAK SANGKA | Antara barang dirampas yang paling dapat perhatian ramai adalah seutas jam tangan yang berharga RM3.4 juta ringgit. Dan Najib dedah kisah di sebalik jam tangan itu. Tak sangka.

JAM TANGAN TU ADALAH HADIAH DARI PUTERA ARAB

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata polis tidak sepatutnya meninggalkan sesetengah fakta berhubung rampasan barangan kemas dan jam tangan dari premis yang dikaitkan dengan dirinya.

“Sebagai contoh, polis pada sidang akhbar berkata bahawa jam tangan paling mahal ialah Rolex Daytona yang menurut anggaran mereka bernilai RM3.4 juta,” katanya.

Najib berkata, jam itu adalah hadiah baru-baru ini bersama beberapa barangan berharga lain yang diberikan oleh seorang menteri dalam negeri, yang juga seorang putera dari sebuah negara di Asia Barat, yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini.

“Polis juga sepatutnya menyatakan bahawa barangan bersama dengan beberapa yang lain berada dalam kotak dengan lambang diraja negara asing itu.

“Fakta ini tidak sepatutnya ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan media hari ini. (Sumber: Malaysiakini)

AMAR SINGH – APA LAGI NAJIB NAK?

Senarai penuh wang tunai dan barang rampasan dari premis dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak telah diberikan kepada penghuni tempat masing-masing, kata polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh menafikan dakwaan Najib bahawa pihaknya tidak mendapat senarai lengkap barang rampasan daripada pihak berkuasa.

Najib juga mendakwa tidak dibekalkan dengan gambar barang-barang rampasan.

“Senarai dah bagi pada tuan rumah. Semua tempat yang kita geledah ada bagi senarai penuh.

“(Ia) diberi pada orang yang ada di rumah itu. (Senarai) telah diberi semua pada mereka. Apa lagi dia nak?

“Diberi pada semua yang ada penghuni. Kalau ada pekerja kita bagi pada pekerja,” katanya kepada Malaysiakini.

Polis semalam mendedahkan nilai pasaran barang rampasan di hartanah dikaitkan dengan Najib, termasuk beribu-ribu barang kemas, berjumlah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Bagaimanapun dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini di ibu pejabat portal ini di Petaling Jaya semalam, Najib berkata nilainya “subjektif dan tidak realistik”.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mempertahankan anggaran nilai yang diumumkan mereka semalam atas alasan ia dibuat dengan bantuan pakar. (Sumber: Malaysiakini)

Rampasan Barang. Ini PERMINTAAN Terkini Najib Buat Ramai TAK SETUJU

Rampasan Barang. Ini PERMINTAAN Terkini Najib Buat Ramai TAK SETUJU | Selepas viral harta rampasan bernilai bilion ringgit, terkini Najib membuat permintaan kepada pihak polis. Nak bagi ke tak ?

NAJIB NAK LIHAT HARTA RAMPASAN TERSEBUT

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, penilaian barang, terutama barang kemas yang dirampas polis di kediaman yang dikaitkan dengannya adalah subjektif dan tidak realistik.

“Ia bergantung kepada sumber permata itu. Ia bergantung adakah ia hadiah atau bila ia dibeli. Penilaian mungkin akan jadi berbeza.

“Maka, janganlah kita terlalu teruja dengannya. Marilah kita melihat barang berkenaan, setiap barang, dan kami berharap dapat memeriksanya dan kita dapat membuat kesimpulan sumber barang itu dan dapat dijelaskan mengenai barang yang disita oleh polis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini di pejabat portal berita itu di Petaling Jaya, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, hari ini, mendedahkan jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan Najib ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Ia membabitkan 12,000 pelbagai barang kemas yang ditemui dalam 25 daripada 72 beg yang dirampas polis dalam serbuan, Mei lalu.

Antara barang kemas itu ialah cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya dengan nilai pasaran kira-kira RM880 juta.

Daripada jumlah itu, sebanyak 2,200 unit adalah cincin, 1,400 rantai, gelang tangan 2,100 unit, subang 2,800 unit, kerongsang 1,600 unit dan tiara 14 unit.

Barang paling berharga adalah seutas rantai emas dengan berlian putih berharga RM6.4 juta.

Turut dirampas, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel serta Bijan.

Beg tangan Hermes bernilai kira-kira RM51.3 juta dan paling mahal berharga RM1.6 juta.

Selain itu, turut dirampas 234 cermin mata hitam seperti Gucci dan Dior kesemuanya bernilai RM374,000, enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.

Kesemua barang kemas dan wang kini disimpan di Bank Negara.

Najib berkata, seperti mana-mana suami, beliau tidak menyedari sejauh mana koleksi barang kemas dan barang kemas yang dimiliki isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor. (Sumber: Berita Harian)

BIJAN JENAMA MEWAH IKONIK

Ramai yang ternganga apabila mendengar nama Bijan disebut sebagai salah satu jenama beg yang dirampas daripada kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ramai yang tidak pernah mendengar nama jenama berkenaan, malah media meminta Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dalam sidang media semalam mengeja perkataan Bijan bagi mendapatkan kepastian mengenai jenama berkenaan.

Bijan yang disebut Amar Singh itu bukanlah jenama yang mengambil nama bijian bijan sebaliknya Bijan yang disebut sebagai bizaen (perkataan dalam bahasa Iran) adalah antara jenama yang paling eksklusif dan antara termahal di dunia yang dikategorikan sebagai barang rekaan khas dan jenama ikonik.

Berdasarkan carian di blog, The Most Expensive Journal, Bijan adalah antara jenama fesyen yang menjual kelengkapan lelaki dan wanita termahal di dunia dengan harga stokin mencecah RM403 sepasang, manakala harga bagi tali leher bermula pada harga RM4,031 setiap satu dan satu persalinan sut bermula pada harga RM100,000.

Pada mulanya, jenama Bijan ini hanya boleh ditempah khas daripada pereka fesyen terkemuka Bijan Pakzad (meninggal dunia 2011) yang juga pengasas jenama ini melalui temujanji khas.

Bijan pada awalnya adalah satu-satunya pereka fesyen bagi semua jenis kelengkapan badan lelaki, iaitu daripada pakaian, kasut, skaf, tali leher, barang kemas dan jam tangan hingga ke beg bimbit dan haruman eksklusif.

Beliau kemudiannya menambah koleksi kepada pakaian dan kelengkapan wanita termasuk beg tangan, haruman dan barang kemas.

Bijan juga pernah bekerjasama dengan Bugatti menghasilkan rekaan khas untuk jenama kereta berkenaan.

Amar Singh mendedahkan beg jenama Bijan itu tidak boleh dibeli di pasaran biasa sebaliknya ia ditempah khas adalah antara 567 beg tangan daripada 37 jenama yang dirampas di kediaman bekas Perdana Menteri itu dan paling mahal dipercayai beg jenama Bijan berharga RM1.6 juta.

Difahamkan harga bagi satu beg sandang kulit buaya dicatatkan dalam portal online berharga RM16,105.

Selain jenama Bijan, beg tangan yang dirampas termasuklah jenama Hermes, Prada dan Chanel. Beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta.

Harga bagi beg tangan Birkin jenama Hermes adalah antara RM25,000 and RM100,000 dan beg koleksi khas harganya lebih daripada jumlah itu.

Untuk rekod, Bijan Pakzad yang lebih dikenali sebagai Bijan kelahiran Iran mencipta nama di Los Angeles, Amerika Syarikat adalah perunding imej kepada lima Presiden Amerika Syarikat lebih 40 tahun bermula daripada zaman Ronald Reagan, George Bush, George W Bush, Bill Clinton dan Barack Obama.

Beliau juga adalah pilihan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair and Presiden Russia, Vladmir Putin selain menjadi pereka pilihan selebriti dan tokoh terkemuka dunia seperti Malcolm Forbes, Roger Moore, Pierre Trudeau, Raja Juan Carlos, Barry Manilow, Raja Hussein (Jordan) dan pemain gitar, George Benson dan pemain bola keranjang Micheal Jordan.

Pereka fesyen itu juga turut menjadi pilihan pereka fesyen lain seperti Oscar de la Renta, Tom Ford dan Giorgio Armani, selain artis berprofil tinggi seperti Tom Cruise and Anthony Hopkins.

The Huffington Post menamakan butik House of Bijan sebagai kedai ikonik yang paling mahal yang mana Bijan memaparkan kemewahannya menerusi rekaan dalaman dihiasi candelier kristal, perabot mewah dan lantai marmar.

Sebelum kematiannya, Bijan yang dikenali sebagai pereka fesyen eksklusif hanya menerima tempahan melalui temujanji khas dengan di butiknya di Rodeo Drive Beverley Hill di Los Angeles. Bijan hanya menerima lima hingga enam pelanggan dalam satu hari.

Dalam satu laporan media mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Los Angeles dinamakan sebagai destinasi pilihan beli belah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor. (Sumber: Berita Harian)