in

Kes Kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqi. 2 Suspek SAH Bawa Petrol. Ini Laporan PENUH

Semoga Allah Permudahkan Urusan Semua Orang Terlibat. Amin.

Kes Kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqi. 2 Suspek SAH Bawa Petrol. Ini Laporan PENUH | Masih ingat kes kebakaran tahfiz yang mengorbankan 23 orang ? Terkini dari mahkamah, polis sahkan berdasarkan CCTV 2 suspek bawa petrol. Ikuti laporan penuh dari mahkamah.

BAWA PETROL DALAM BEKAS BOTOL MINERAL

Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa hasil siasatan polis mendapati, dua tertuduh remaja melompat masuk ke dalam kawasan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dengan membawa petrol yang diisi dalam botol air mineral dalam kejadian kebakaran menyayat hati, yang mengorbankan 23 penghuni pusat itu.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah berkata, pada malam sama sebelum kebakaran tercetus pada 14 Sept 2017, tertuduh telah berbual bahawa mereka mahu membakar pusat tahfiz tersebut.

Katanya, tertuduh dilihat meninggalkan Lorong Keramat 18, Jalan Datuk Keramat pada 4.15 pagi hari kejadian dengan kedua-duanya menunggang motosikal dan pada jam 4.30 pagi, mereka telah ke kawasan berhampiran pusat tahfiz sebelum masuk ke dalam kawasan pusat tahfiz dengan cara melompat pagar dan membawa petrol yang diisi dalam botol air mineral.

“Pada jam 4.50 pagi, tertuduh-tertuduh telah melompat keluar daripada pusat tahfiz berkenaan dalam keadaan cemas dan tergesa-gesa sebelum meninggalkan tempat kejadian dengan menunggang motosikal sama. Pada masa sama cahaya api telah kelihatan di tingkat 3 pusat tahfiz tersebut,” katanya dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes kebakaran pusat tahfiz itu dan kematian 23 penghuninya di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

POLIS SAHKAN LAPORAN DARI VIDEO CCTV

Othman berkata, pihak polis juga berjaya menemukan beberapa rakaman kamera litar tertutup yang mengesahkan kehadiran tertuduh-tertuduh di beberapa lokasi termasuk di kawasan berhampiran tempat kejadian.

Dalam ucapan itu Othman juga memberitahu hasil siasatan bomba mendapati bahawa punca kebakaran pusat tahfiz berkenaan adalah disebabkan sengaja dibakar dan kebakaran itu bermula di hadapan pintu masuk bilik asrama pusat tahfiz itu.

Beliau berkata sumber nyalaan yang mencetuskan kebakaran adalah daripada pemetik api yang digunakan untuk menyalakan petrol yang telah dicurahkan pada rak tuala, rak kasut, dinding dan pintu masuk bilik asrama.

“Nyalaan api ini menjadi semakin kuat dengan adanya tong gas petroleum cecair (LPG) daripada kedua-dua tong gas LPG lalu menyebabkan ia merebak dengan cepat ke seluruh bilik asrama tersebut,” katanya.

REMAJA BERNIAT BUNUH

Oleh itu, katanya pihak pendakwaan akan membuktikan dua tertuduh remaja berumur 17 tahun itu mempunyai niat bersama untuk membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu.

Katanya pendakwaan yang turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz juga akan mengemukakan bukti bahawa kebakaran itu yang menjadi satu lagi episod hitam sejarah institusi pendidikan tahfiz di negara ini, selepas tragedi malang Pondok Pak Ya, 28 tahun lalu, adalah disebabkan perbuatan kedua-dua tertuduh itu.

Othman berkata, pihak pendakwaan akan turut membuktikan bahawa semua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami termasuk luka bakar dan terhidu asap dan jelaga ekoran kebakaran yang dikategorikan “sengaja dibakar” itu.

“Bahawa tertuduh-tertuduh dengan perbuatannya itu melakukan kesalahan seperti yang ditakrifkan di dalam Seksyen 300 Kanun Keseksaan, tertuduh-tertuduh mempunyai niat bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama dalam membunuh si mati-si mati,” katanya.

Pada prosiding hari ini, kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haijan Omar manakala peguam Boestaman Ahmad, Roswadya Roslan dan Mohd Tajuddin Abd Razak bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak pusat tahfiz dan keluarga mangsa.

Dua remaja lelaki yang ketika kejadian itu berumur 16 tahun didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni di Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, di sini antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 Sept 2017.

Mereka masing-masing menghadapi 23 pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun bagaimanapun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 5.15 pagi, 14 Sept 2017, seramai 21 pelajar dan dua warden maut selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz itu yang terbakar.

Perbicaraan bersambung esok. – Bernama

Sumber : Sinar Harian

Loading...

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Loading…

Comments

comments

Tun Mahathir – Kerajaan Kaji Semula JAKIM Bagi Martabatkan Islam Di Malaysia

RTM Belanja RM40 Juta Untuk Piala Dunia. Hasilnya Bakal Buat Ramai Pembangkang TERKEDU