Akibat Terlalu Berani Cabar Amerika. Ini PADAH Yang Bakal Diterima Korea Utara | Khalifah Mail Online – Baru-baru gempar satu dunia apabila Korea Utara dengan beraninya mengatakan akan menyerang Amerika (di jajahannya bernama Guam), yang merupakan sebuah pangkalan tentera terbesar Amerika di Lautan Pasifik. Ekoran itu, Amerika yang merupakan kuasa veto PBB telah buat desakan lagi dasyat kepada Pyongyang.
PBB MAINKAN PERANAN
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan sekatan terbaru lebih tegas ke atas Republik Rakyat Demokratik Korea (DPRK) sebagai ‘hukuman’ atas tindakan provokasi mereka melancarkan dua peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dan juga provokasi untuk menyerang Guam, jajahan Amerika baru-baru ini (KOREA UTARA AKAN SERANG GUAM DENGAN PELURU BERPANDU. PUNCANYA BUAT AMERIKA CUAK – LINK)
Beberapa hari selepas Majlis Keselamatan PBB (UNSC) meluluskan Resolusi 2371 digubal Amerika Syarikat bertujuan untuk menghalang program pembangunan senjata nuklear dan peluru berpandu balistik Pyongyang itu, pemimpinnya, Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump bertindak melancarkan ‘perang retorik’.
Sekatan diperluaskan itu melibatkan pembekuan aset dan larangan perjalanan ke atas sembilan individu serta empat pertubuhan termasuk Bank Perdagangan Asing.
Ia merupakan senarai tambahan kepada 62 individu dan 50 organisasi yang telah disenaraihitamkan sebelum ini.
Sekatan set ketujuh itu menyasarkan perdagangan antarabangsa yang akan menyebabkan Pyongyang terpaksa menanggung kos kerugian kira-kira AS$1 bilion (RM4.2 bilion) setahun, jumlah yang sangat besar untuk negara yang agak miskin seperti Korea Utara.
Langkah tersebut mengenakan embargo ke atas eksport arang batu, besi, bijih besi, bijih timah, plumbum, ikan dan makanan laut.
Walaupun pakar skeptikal dengan sekatan yang disifatkan paling tegas dalam tempoh sedekad itu, diplomat PBB yakin ia akan dilaksanakan dengan lebih tegas berbanding sebelum ini.
“ABANG BESAR” TAKMO TOLONG
Nasib Pyongyang kini bergantung kepada China yang menyumbang 90 peratus perdagangan dengan negara itu.
Bagaimanapun, Menteri Luar China, Wang Yi berikrar Beijing akan melaksanakan resolusi baharu itu secara 100 peratus.
“Jika kita pertimbangkan hubungan ekonomi tradisional antara China dan Korea Utara, Beijing perlu bayar sebahagian besar harga untuk pelaksanaan resolusi terbaharu itu,” katanya.
Jelasnya lagi, China bersedia korbankan kepentingan ekonomi mereka sendiri demi sokong sistem antarabangsa berkaitan kawalan senjata nuklear dan untuk mengekalkan keamanan serta kestabilan rantau terbabit.
“Beijing akan sentiasa patuhi dan melaksanakan dengan tegas resolusi UNSC,” menurutnya.
Jika China menunaikan janji mereka, Korea Utara mungkin terpaksa mencari rakan perdagangan lain.
RUSIA “MUNGKIN” TOLONG
Sasaran utama sekatan tersebut adalah industri perikanan yang mana kira-kira 29 peratus daripada hasilnya dieksport ke Rusia.
“Setakat ini, kesan daripada sekatan dan tindakan untuk menghukum DPRK dilihat terhad. Moscow masih tidak jelas dengan sekatan ekonomi tersebut.
“Resolusi sebelum ini telah halang kerjasama ekonomi antara Rusia dan Korea Utara,” kata fellow kanan di Carnegie Moscow Center, Alexander Gabuev.
Prof undang-undang di Universiti Fordham di New York, Thomas H Lee mendakwa pelaksanaan sekatan sedia ada adalah ‘longgar’.
“Tetapi, kepimpinan DPRK dijangka terkesan dengan langkah tersebut,” ujarnya.
Cheong Seong-jang dari Institut Sejong berpusat di Seoul percaya resolusi itu akan beri impak kepada rejim Jong-un berikutan eksport mineral dan marin dikawal parti pemerintah, Parti Pekerja dan tentera.
“Ia dijangka memberi kesan ketara kepada pendapatan mata wang asing golongan elit dan kepimpinan Jong-un. Bagaimanapun, resolusi itu tidak menyenaraikan langkah untuk menghalang penyediaan minyak mentah ke Korea Utara.
“Jika Pyongyang tidak menghentikan ujian nuklear dan ICBM atau sedia berunding pada bulan depan, China harus menghentikan sebarang pertukaran pelancongan dan perdagangan, berhenti menyediakan minyak mentah dan segala aktiviti import dari negara itu.
“Tindakan seumpama itu mungkin akan menyebabkan Jong-un terpaksa menghantar wakil khas ke Beijing untuk membuat perjanjian,” jelasnya.
Sekiranya sekatan tersebut gagal untuk mengubah tingkah laku rejim Jong-un, UNSC masih ada pilihan lain seperti kenakan embargo minyak atau menghantar pulang warga Korea Utara yang bekerja di luar negara.
Laporan tentang pelaksanaan sekatan PBB terhadap Pyongyang itu dijangka dikeluarkan pada bulan depan.
Korea Utara sudah lama berdepan sekatan PBB. UNSC mengenakan sekatan secara meluas ke atas Pyongyang selepas ia melancarkan ujian nuklear pertama pada 2006.
Sebagai respons terhadap pelancaran peluru berpandu pada tahun lalu, UNSC telah meluluskan Resolusi 2270 menyasarkan kegiatan ekonomi negara itu yang tidak berkaitan secara langsung dengan eksport ke atas sumber mineral.
Bagaimanapun, sekatan baharu di bawah Resolusi 2371 meluaskan langkah tersebut dan embargo ke atas hasil eksport makanan laut dan penggunaan buruh dari Korea Utara di luar negara.
Ia kelihatan menghapuskan sebahagian sekatan lama bertujuan untuk mengelakkan kesan kemanusiaan yang buruk terhadap orang awam.
Beberapa pakar melihat resolusi baharu itu adalah lebih holistik berbanding sebelum ini dalam memotong hasil eksport utama Korea Utara. Kesan sekatan seumpama itu boleh menjadi besar.
MATLAMAT UTAMA PBB
Matlamatnya adalah untuk memotong satu pertiga daripada AS$3 bilion (RM12.8 bilion) eksport tahunan Pyongyang.
Bagaimanapun, sekatan baharu itu masih bergantung kepada pelaksanaan negara anggota PBB yang terbukti bermasalah.
Meluluskan resolusi adalah agak mudah berbanding menghentikan perdagangan.
China menyumbang kira-kira 90 peratus daripada perdagangan Korea Utara. Tetapi, adakah Beijing yang mengundi untuk memihak sekatan itu akan melaksanakannya?
Ia tidak dilaksanakan ketika pusingan sekatan sebelum ini berikutan perdagangan antara China dan Korea Utara meningkat hampir 2.7 peratus.
Pemerhati mendakwa kira-kira separuh perdagangan Beijing-Pyongyang masih berjalan melalui bandar sempadan Dandong.
Sejak beberapa minggu lalu, laporan dari Dandong tidak menemui petunjuk perdagangan bergerak perlahan.
Sekatan berkesan atau tak?
Mereka yang menganjurkan sekatan mendakwa keputusan itu berkesan selepas menilai keputusan Afrika Selatan untuk menamatkan dasar aparteid dan kesediaan Iran mencapai perjanjian nuklear susulan berdepan langkah itu.
Penyelidik akademik tidak sepenuhnya pesimis tentang keberkesanan langkah itu walaupun golongan cendekiawan agak skeptikal.
Malah kajian lebih optimistik menunjukkan sekatan lebih efektif untuk menghalang negara dari melancarkan program senjata dan tidak berkesan mengurangkan program sedia ada seperti di Korea Utara.
Sumber : Sinar Harian
Pingback:Ditekan DUNIA. Ini Tindakan MENGEJUTKAN Hampir 4 Juta Rakyat Korea Utara Yang Buat Ramai TERGAMAM - KHALIFAH MAIL ONLINE