Jika Golongan Atheis Meninggal Dunia. Tempat “Kubur”nya MENGEJUTKAN Ramai | Khalifah Mail Online – Pernah terfikir tak apa jadi kalau golongan atheis (tak caya tuhan) ni mati, kat mana kuburnya ? Ini jawapannya yang mengejutkan ramai. Jom baca dan kongsikan.
ATHEIS TU AGAMA KE?
HIDUP tanpa tuhan dan berpaksikan sesuatu yang wujud ataupun ghaib adalah hak individu yang jelas tidak melanggari perlembagaan negara, khususnya Malaysia.
Dari satu sudut pandang, individu yang berpegang kepada hidup tanpa tuhan atau golongan ateis adalah turut digelar sebagai individu yang berpegang kepada sesuatu yang difahami umum sebagai ‘agama’.
Tetapi adakah ateis itu agama?
Persoalan lainnya pula adakah ramai kalangan rakyat Malaysia menganuti ‘agama’ itu?
Jika ia bukan dalam kategori agama, di mana mereka ateis ini harus dikuburkan?
GERAKAN DAKYAH ATHEIS DI LAMAN SOSIAL
Penulisan ini merujuk kepada beberapa penyebaran di media sosial oleh golongan terbabit baru-baru ini yang mana wujud usaha menyebar luas fahaman ateis dalam kalangan pelayar media sosial.
Ada yang menafsir tindakan mereka itu sebagai sebahagian daripada ‘kebebasan bersuara’ dan ‘kebebasan beragama’.
Sebelum kita melihat isu kebebasan bersuara dan perlembagaan negara yang tersergam utuh sejak 1957 itu, penulis ingin menanyakan sesuatu yang telah diketahui umum sejak di bangku sekolah lagi.
Bukankah sebagai warganegara Malaysia kita mempunyai rukun negara untuk disemat sebagai persaksian sebagai rakyat yang setia?
GOLONGAN ATHEIS DARI SEGI PERLEMBAGAAN NEGARA
Bukankah di tangga pertama rukun negara menyatakan tentang ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ dan diikuti ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’, Keluhuran Perlembagaan’, ‘Kedaulatan Undang-undang’ , Kesopanan dan kesusilaan’.
Mengambil rukun kelima negara, penulis berhasrat menyantuni golongan terbabit dengan pemahaman tentang Perkara 3(1) Perlembagaan iaitu Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
Jadi di mana harus dikategorikan golongan ateis ini di Malaysia?
Bukankah mereka ini rakyat Malaysia?
Jadi untuk lebih menyantuni golongan ini yang diiktiraf sebagai warganegara, penulis ingin memetik sebuah lagi perkara utuh dalam Perlembagaan iaitu Perkara 8 (1) dan (2).
“8. (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang.
“(2) Kecuali sebagaimana yang dibenarkan dengan nyata oleh Perlembagaan ini tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam pelantikan kepada apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubungan dengan penubuhan atau penjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profesion, kerjaya atau pekerjaan.”
Kerajaan secara keseluruhannya melihat perkara ini dengan serius.
Pada 23 November lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu Dewan Rakyat bahawa ateisme tidak mempunyai tempat di Malaysia kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Kita mesti faham bahawa dalam konteks Malaysia, kebebasan beragama bukanlah kebebasan dari mana-mana agama,” jelas Asyraf Wajdi sebagai tindak balas kepada persoalan mengenai usaha kerajaan untuk membendung atheisme dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jelasnya lagi, kerajaan menerusi peranan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) akan memastikan sebarang bentuk ekstrem atau pelampau agama termasuk fahaman ‘ateis’ di negara ini disekat agar kewujudannya tidak mendatangkan kemudaratan.
Sebagai negara yang yang mengutamakan agama Islam kerajaan katanya tidak sekali-kali akan memberi ruang atau peluang kepada aktiviti seumpama itu demi kepentingan umat Islam di negara ini.
Tidakkah ini jelas? Golongan ateis tidak hanya mencabar perlembagaan tetapi jelas mencabar agama-agama lain khususnya Islam itu sendiri.
PERLU PERBINCANGAN SERIUS UNTUK TANGANI FAHAMAN ATHEIS
Tidakkah anda yang berada di dunia tanpa sempadan ini gusar dengan tindak-tanduk anak-anak bangsa yang masih di bangku sekolah apabila mereka terdedah dengan isu kesongsangan ini?
Melihat isu ini dengan lebih mendalam Pensyarah di Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Shamrahayu Abdul Aziz berkata pihak berkuasa undang-undang, pengamal undang-undang dan ahli akademik perlu duduk semeja bagi berbincang lanjut mengenai kewujudan fahaman ateis.
Baginya jika terdapat keperluan mengiktiraf fahaman tersebut dalam perlembagaan negara, banyak perkara perlu diambil kira.
“Kalau kita lihat isu ateis dan agama ini amat sensitif kerana kita perlu lihat dari sudut perundangan.
“Sebab undang-undang negara bermaksud menjaga kepentingan individu, menjaga prinsip-prinsip asas negara dan demi untuk menjaga ketenteraman awam,” jelas Shamrahayu yang dihubungi penulis baru-baru ini.
Menurut frasa kebebasan beragama telah digunakan sebagai platform golongan itu dan ia sesuatu yang amat perlu dibahaskan.
“Cuma kita agak kekurangan definisi sebenarnya apa itu ‘agama’.
“Malaysia tiada definisi undang-undang tentang apakah itu agama dan ia jadi persoalan utama kini adakah ateis itu adalah pegangan agama?
“Jika ia agama maka ia layak mendapat jaminan kebebasan agamanya di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi kita perlu huraian undang-undang,” jelasnya.
Shamarahayu menegaskan ketika ini golongan ateis jelas memperguna frasa kebebasan beragama untuk kepentingan mereka kerana ia tidak termaktub dalam perlembagaan.
Mengikut perlembagaan, Malaysia katanya adalah sebuah negara yang mempunyai agama dan agama Islam sebagai agama persekutuan dan agama-agama lain hanya disebut sebagai agama yang diketahui umum semasa kemerdekaan tanpa huraian khusus.
“Dari sudut perundangan negara, kita mengiktiraf kedudukan agama dari sudut sosial dan budaya dan menerima kedudukan agama itu,” jelasnya lagi.
Shamrahayu turut menzahirkan kebimbangannya berhubung ketenteraman masyarakat beragama dengan kewujudan ideologi atau fahaman baharu ini
“Jika penyebaran ideologi, pemikiran, falsafah atau dogma kepercayaan itu berterusan dalam kalangan masyarakat beragama ia sudah pasti akan menimbulkan ketidakteraman.
“Jadi kita perlu tahu ke mana hala tuju negara dalam konteks beragama ini, adakah perundangan negara akan mengiktiraf satu kepercayaan yang tiada tuhan,” jelasnya.
Ditanya mengenai konsep Rukun Negara, Shamrahayu menjelaskan Rukun Negara bukan bersifat undang-undang.
“Dari sudut perundangan, ya benar, ia di luar konteks. Tetapi dalam kontek sebuah negara, negara itu perlu ada falsafahnya sendiri dan falsafah negara itu perlu ada tunjangnya dalam perlembagaan.
“Kalau perlembagaan itu mengiktiraf agama, maka saya percaya falsafah negara yang bukan dalam bentuk undang-undang adalah sebuah hala tuju negara kita,” jelasnya.
Hasil temu bual, penulis terfikir adakah hasil perbincangan akan datang akan memikirkan erti sebenar ‘agama’?
Kedua adakah tempatnya dalam perlembagaan?
Menurut Shamrahayu, Amerika Syarikat pernah mengiktiraf ateis sebagai agama dan diletakkan di dalam perlembagaan negara itu pada 2005.
Namun, maklum balas ahli akademik memutuskan keputusan tersebut sebagai mengelirukan maksud agama dalam perlembagaan mereka.
“Jadi kekeliruan yang diterima negara lain perlu dibincang kerana kita tidak mahu negara kita terjebak dalam isu kekeliruan dalam falsafah negara,” jelasnya ketika mengakhiri temu bual.
Sementara kita menantikan jawapan tuntas daripada pihak berkuasa dan ahli akademik, penulis benar-benar ingin tahu, jika ahli ateis ini meninggal dunia, adakah mereka akan dikuburkan? Dan jika dikuburkan, di mana kuburnya?
Atau mungkin ‘mati’ itu tidak wujud dalam kamus kepercayaan mereka? Kerana mati itu satu kepercayaan individu beragama.
Anda bijak, anda penilainya.
Sumber: Khalifah Mail Online via Syah Hairizal Kamalul Arifin bertugas sebagai wartawan di Astro AWANI.
Pingback:Jika Golongan Atheis Meninggal Dunia. Tempat “Kubur”nya MENGEJUTKAN Ramai – Kabarviral.me