Apandi Tolak MT Umno. Ini Reaksi Berani Fathul Bari Buat Ramai Ahli Umno Setuju | Zahid lantik Apandi, Apandi tolak. Ini reaksi berani Fathul Bari buat ramai ahli Umno setuju. Tak sangka.
TINDAKAN APANDI TEPAT. KELEGAAN BAGI SEMUA AHLI UMNO
Tindakan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menolak pelantikannya sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dilihat sebagai satu tindakan tepat.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, penolakan itu sesuai dengan sentimen sensitiviti politik yang bakal mengaitkannya dengan keputusan yang pernah dibuat dalam isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika menjadi Peguam Negara.
Menurutnya, ia sekali gus akan memberikan kesan yang tidak baik kepada arah dan hala tuju parti.
“Bagi pandangan peribadi saya, ia satu keputusan yang sangat tepat yang dibuat Mohamed Apandi untuk Umno itu sendiri.
“Saya tidak kata cadangan untuk meletakkan beliau di jawatan tersebut tidak betul, tetapi saya melihat sentimen dan pandangan umum rakyat di luar sana yang perlu parti ambil kira untuk terus ke depan dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada Umno,” katanya.
Semalam, Umno mengumumkan lantikan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan turut tersenarai nama Mohamed Apandi, namun beberapa jam kemudian bekas Peguam Negara itu mengeluarkan kenyataan menolak pelantikan tersebut.
Mengulas lanjut, kata Fathul Bari, pemimpin atasan mungkin melihat daripada perspektif kemampuan yang ada pada Mohamed Apandi berdasarkan ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dalam institusi kehakiman negara.
“Cantik untuk libatkan beliau jika bersandarkan pada perspektif tersebut, tetapi dari perspektif umum masyarakat, sesuai
sekiranya beliau hanya beri pandangan dan nasihat daripada luar untuk membantu parti,” katanya.
Justeru, untuk mengelakkan kejadian penolakan jawatan tersebut berulang, kata Fathul Bari seharusnya perbincangan terlebih dahulu perlu dilakukan bersama individu yang mahu diangkat menjawat sebarang jawatan.
“Saya tidak pasti adakah perbincangan untuk memilih itu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat. Setiap orang berbeza, ada individu yang bersedia pada bila-bila masa untuk terima tanggungjawab tersebut ada juga yang perlu mengkaji, meneliti berfikir terlebih dahulu sebelum menerima pelantikan itu.
“Perkara sama pernah berlaku kepada Datuk Mohd Kazim Elias yang dilantik sebagai MT Umno tetapi terpaksa menolak kerana ada kekangan tertentu. Saya mengharapkan perkara ini tidak berlaku lagi,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyelar tindakan pihak tertentu dalam parti yang mempertikaikan pelantikan pengerusi perhubungan Umno negeri.
Katanya, pelantikan jawatan tersebut atas pilihan Presiden Umno dan jika tidak setuju perkara tersebut perlu dibincangkan dalam suasana kekeluargaan.
“Tidak perlu mengkritik orang yang dilantik kerana ada di antara mereka tidak tahu dilantik. Seeloknya di bincang dan diangkat kembali kepada presiden supaya ia boleh diselesaikan dengan cepat. Bukan dengan cara memaki hamun ,”katanya. (Sumber: Sinar Harian)
PERSEDIAAN IMIGRESEN MALAYSIA SAMBUT JHO LOW
Tindakan undang-undang menanti ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low atau Jho Low kerana dipercayai menggunakan pasport negara lain bagi menyembunyikan diri di luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Malaysia tidak mengamalkan dua kerakyatan.
Menurutnya, adalah satu kesalahan kerana Jho Low memiliki kerakyatan negara lain.
“Jho Low dipercayai memiliki dua pasport iaitu Malaysia dan St Kitts and Nevis. Namun pasport Malaysianya telah dibatalkan pada 15 Jun lalu kerana ada beberapa tindakan yang perlu diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Jadi, dia (Jho Low) tidak boleh bergerak ke negara lain sekiranya dia menggunakan pasport Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sebentar tadi.
Beliau menegaskan, pihaknya percaya Jho Low menggunakan nama asalnya di pasport keduanya St Kitts and Nevis.
“Apa juga kemungkinan kesalahan keimigresenan di bawah Akta Pasport dan Akta Imigresen 1959, maka kita akan teliti dan mengambil tindakan seperti kes Datuk Seri Jamal Md Yunos kerana keluar negara tanpa melalui pintu yang sah,” katanya.
Ditanya lokasi terbaharu Jho Low selepas dipercayai meninggalkan Macau beberapa hari lalu, Mustafar berkata, pihaknya meneliti pelbagai kemungkinan dan sedang menjalin kerjasama dengan agensi lain termasuk Polis Antarabangsa (Interpol).
“Kita siap siaga dalam soal memberi kerjasama sebaik mungkin dalam memastikan keadilan ditegakkan dan inilah ketetapannya,” katanya.
St Kitts and Nevis ialah negara kecil di kepulauan Caribbean dan dikenali sebagai lokasi membeli pasport di mana dengan bayaran AS$250,000 (RM1 juta), warga asing boleh membeli kewarganegaraan tanpa perlu tinggal di negara berkenaan.
St Kitts and Nevis yang secara rasminya dikenali sebagai Persekutuan St Christopher and Nevis, adalah negara pulau berkembar di lautan Caribbean, bercuaca tropika dan terkenal sebagai pusat peranginan dengan pemandangan indah.
Ia juga memperkenalkan konsep memperoleh kewarganegaraan menerusi pelaburan sejak 1984 di mana seseorang boleh memohon menjadi warganegara St Kitts and Nevis dengan menyumbang jumlah tertentu di bawah salah satu daripada 3 cabang pelaburan yang ditawarkan negara itu.
11 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan Ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jho Taek Low atau Jho Low dipercayai telah meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya. (Sumber: Sinar Harian)
Comments