Akaun Bantu Najib Dibeku. Ini Jawapan Balas SPRM Yang Ditunggu Ramai | Tempoh 24 jam, Ketua Wanita UMNO Pekan viralkan kisah akaun bank derma mereka yang dibuka untuk bantu Najib dibekukan. Ekoran itu, ini jawapan balas SPRM yang ditunggu ramai. Tak sangka.
SPRM TAK BEKU AKAUN DERMA BANTU NAJIB
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengeluarkan arahan untuk membekukan akaun bank yang dibuka bagi membayar ikat jamin bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada Ahad, portal berita The Malaysian Insight melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (gambar) berkata, pihak yang berkenaan perlu merujuk kepada bank untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya daripada SPRM.
“Sepatutnya, saya tidak perlu komen berkenaan ini memandangkan mereka (penyokong) tidak menunding jari kepada kami.
“Tapi, bagi menjelaskan perkara ini, SPRM tidak membekukan akaun tersebut,” kata beliau.
Terdahulu, Ketua Umno Wanita Bahagian Pekan, Datuk Zalmah Abdul Rahman memberitahu portal berita The Malay Mail pada Sabtu bahawa akaun Bank Rakyat yang dibuka untuk membayar ikat jamin Najib dibekukan.
Menurut posting ‘Bebas Najib’ di Facebook, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii yang mengutip danan itu berkata wang terkumpul setakat pukul 5 petang Jumaat adalah RM223,908.
Derma itu bertujuan membantu Najib membayar baki wang ikat jamin berjumlah RM500,000 pada Isnin ini. (Sumber: Mstar)
WANITA DERMA GELANG EMAS KESAYANGAN TARIK PERHATIAN NAJIB
Selepas kisah mengenai tindakan Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin mendermakan gelang emas miliknya tular, kini tampil seorang individu meluahkan hasrat membeli gelang tersebut untuk disimpan sebagai tanda kenangan.
Datuk Zaleha Bujang berkata, individu tersebut menawarkan wang sebanyak RM3,000 untuk membeli gelang emas itu, namun enggan mendedahkan identitinya.
“Selepas dia dengar saya nak sumbangkan gelang emas kepada Tabung Solidariti Bebaskan Najib, dia hubungi saya secara peribadi untuk membelinya.
“Dia tanya harga asal gelang ini dan sanggup membayar pada harga lebih tinggi iaitu RM3,000,” katanya kepada mStar Online pada Ahad.
Kata Zaleha, beliau terkejut dan berasa terharu dengan sokongan diberikan individu tersebut.
Sementara itu, seorang ahli jawatankuasa Umno di Serkam, Suriani Zahari turut mendermakan gelang emas dan wang tunai kepada tabung tersebut.
“Saya ikut Datuk (Zaleha) menyerahkan seutas gelang yang dibeli ketika saya mula bekerja dahulu,” kata Suriani ringkas dalam video yang dimuat naik oleh Zaleha pada Sabtu.
Dalam pada itu, mStar Online pada Sabtu melaporkan Najib berasa tersentuh hati selepas mengetahui tentang kesanggupan Zaleha mengorbankan gelang emasnya untuk membantu membayar wang ikat jamin bekas Presiden Umno itu.
Datuk Seri Najib Tun Razak melalui catatannya di Twitter berkata: “Saya sangat tersentuh hati dengan kesanggupan Puan Zaleha Bujang, Ketua Wanita Jasin mengorbankan gelang kesayangannya untuk menyumbang kepada Tabung Bantuan ikat jamin saya.”
Najib memuat naik posting tersebut di Twitter pada Jumaat malam selepas berita mengenai sumbangan Zaleha itu dilaporkan mStar Online pada hari yang sama. (Sumber: Mstar)
Comments