Ini Cabaran BERANI Ketua Wanita UMNO Yang Baru Buat Wakil Rakyat BN Yang Tinggal Parti | Pasca pemilihan pimpinan baru UMNO, ramai wakil parlimen BN keluar parti. Ekoran tu, ini cabaran berani Ketua Wanita UMNO yang baru buat ramai teruja.
LEPAS JAWATAN DAN BUAT PRK
Ketua Wanita Umno yang baru dilantik Datuk Dr Noraini Ahmad mencabar anggota parlimen yang keluar Umno untuk melepaskan jawatan mereka dan mengadakan pilihan raya kecil (PRK).
“Jika benar wakil-wakil rakyat BN ini benar-benar hilang kepercayaan terhadap Umno, Wanita Umno mencabar supaya mereka melepaskan jawatan anggota parlimen untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan kerana kepercayaan rakyat mesti dihormati dan mereka mesti diberi hak untuk memilih wakil rakyat yang mewakili parti yang mereka percayai,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Noraini berkata demikian sebagai mengulas Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Anggota Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasah serta Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang keluar Umno.
“Keputusan ketiga-tiga wakil rakyat ini terutamanya Mas Ermieyati untuk menjadi wakil rakyat bebas ini ternyata telah mengkhianati kepercayaan pengundi-pengundi yang telah memilih mereka yang mewakili Umno dan BN.
“Mas Ermieyati juga dengan mudah melupakan kerja kuat seluruh jentera Jalinan Rakyat dan BN yang bertungkus lumus semasa kempen PRU-14 sehingga beliau berjaya menang kerusi Parlimen Masjid Tanah..
“Wanita UMNO ingin mengingatkan Mas Ermieyati dan wakil-wakil rakyat BN yang lain bahawa status Ahli Parlimen yang disandang bukanlah hanya kerana diri mereka sendiri tetapi ia merupakan kombinasi kerja kuat jentera Jalinan Rakyat dan kepercayaan rakyat terhadap Umno dan BN.
“Jika ada masalah atau isu dengan kepimpinan dan perjalanan UMNO, perkara ini patut dibincang bersama dengan baik di dalam UMNO hingga ke peringkat tertinggi. Jangan gunakan ketidakpuasan hati ini untuk keluar parti dengan alasan hilang kepercayaan,” katanya.
Mas Ermieyati merupakan anggota parlimen umno yang terbaru mengumumkan keluar parti hari ini, dengan menyatakan kekecewaan terhadap pemilihan parti yang menyaksikan pemimpin lama dikekalkan.
Noraini berkata Wanita Umno akan berbincang dengan pasukan undang-undang parti bagi memastikan tiada lagi anggota parlimen yang keluar parti.
“Pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat yang memilih BN oleh ahli-ahli parlimen dan ADUN yang melompat parti atau pun keluar menjadi bebas perlu dihentikan. Kepercayaan rakyat tidak boleh dijadikan alat untuk seseorang individu melunaskan kehendak politik peribadi,” katanya. (Sumber: Malaysiakini)
MT UMNO – YANG LAWAN MESTI DIHUKUM
Keputusan akhir bagi jawatan Majlis Tertinggi (MT) Umno menunjukkan satu hal yang jelas – Umno mahu meneruskan citra sama meskipun dengan kekalahan pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan sebarang ‘pemberontakan’ tidak akan diterima.
Dari pemerhatian sepintas lalu, lebih separuh daripada 25 anggota Majlis Tertinggi Umno yang terpilih merupakan muka baru. Namun barisan anggota baru itu jauh untuk digelar sebagai sebuah anjakan paradigma.
Muka-muka baru yang menang bukan dengan mencabar status quo, namun hanya sekadar mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh penyandang yang tidak bertanding atau bertanding untuk jawatan yang lebih tinggi.
Daripada 25 jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno 14 penyandang bertanding mempertahankan jawatan mereka dan perwakilan yang mengundi semalam memilih untuk mengekalkan mereka.
Hanya tiga daripada 14 penyandang berkenaan tidak terpilih, masing-masing Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Seri Shahidan Kassin dan Datuk Seri Idris Haron.
Masing-masing Puad dan Shahidan sebelum ini dilihat mengambil pendekatan yang melawan arus parti mereka.
Puad sempat mencetuskan keriuhan sebelum pilihan raya 9 Mei kerana tidak dibenarkan bertanding kerusi parlimen Batu Pahat sementara Shahidan membidas pemimpin pusat Umno kerana tidak memberi sokongan kepadanya dalam konflik yang melibatkan pihak istana Perlis berhubung isu pelantikan menteri besar.
Idris yang tidak dilihat sebagai melawan arus bagaimanapun turut kalah dalam saingan bagi jawatan ketua Bahagian Umno Tangga Batu.
Bagi 14 jawatan selebihnya – tiga daripadanya sebelum ini dipegang oleh Puad, Shahidan dan Idris sementara 11 yang lain tidak dipertahankan penyandang – rata-rata diisi oleh muka baru dan beberapa pemimpin Umno yang dilihat pembela bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Antaranya adalah Datuk Lokman Noor Adam, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan Datuk Dr Fathulbari Mat Jahya.
Ketua Bahagian Umno Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Bahagian Umno Selangor, yang sebelum ini dilantik menjawat jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno, juga terpilih mengisi jawatan itu sekali lagi.
Berikut merupakan pecahan keputusan pemilihan Majlis Tertinggi Umno.
Penyandang
Mustapa Mohamed
Shamsul Anuar Nasarah
Reezal Merican Naina Mercian
Razali Ibrahim
Abdul Rahman Dahlan
Azalina Othman Said
Bung Mokhtar Radin
Rosnah Abd Rashid Shirlin
Adul Azeez Abdul Rahim
Ahmad Shabery Cheek
Jamil Khir Baharom
Pernah dilantik sebelum ini
Zambry Abd Kadir
Noh Omar
Ahmad Maslan
Muka baru
Mohd Sharkar Shamsudin
Lokman Noor Adam
Md Alwi Che Ahmad
Fathulbari Mat Jahya
Azian Osman
Khaidhirah Abu Zahar
Ahmad Jazlan Yaakub
Jalajuddin Alias
Hasni Mohamad
Zahidi Zainul Abidin
Mohd Khusairi Abdul Talib
Sejumlah besar kekosongan dalam jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno adalah kerana kebanyakan pemimpin tinggi Umno – yang terdiri daripada presiden, timbalan presiden, dan tiga naib presiden – telah berpecah.
Kekosongan jawatan presiden Umno terjadi setelah peletakan jawatan Najib susulan kekalahan BN dalam PRu sementara jawatan timbalan presiden kosong setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat kerana mempersoalkan Najib berkaitan isu 1MDB.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal keluar parti selepas digantung kerana turut mempersoalkan Najib, manakan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang sebelum ini menyandang jawatan naib presiden tidak bertanding dalam pemilihan parti itu.
Ini meninggalkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai penyandang utama dalam lima pemimpin tertinggi Umno bagi bertanding dalam pemilihan parti itu. Beliau akhirnya menang jawatan presiden Umno.
Ia juga bererti banyak penyandang jawatan anggota Majlis Tertinggi Umno menyasarkan jawatan lebih tinggi.
Berikut merupakan status bagi penyandang anggota Majlis Tertinggi Umno yang dipilih dari penggal sebelum ini.
Kalah
Idris Haron
Shahidan Kassim
Mohd Puad Zarkashi
Bertanding jawatan lebih tinggi
Mohamad Hasan (Menang timbalan presiden)
Ismail Sabri Yaakob (Menang naib presiden)
Mahdzir Khalid (Menang naib presiden)
Tajuddin Abdul Rahman (Kalah dalam merebut jawatan naib presiden)
Annuar Musa (Kalah dalam merebut jawatan timbalan presiden)
Tidak bertanding
Jamaluddin Jarjis (meninggal dunia)
Idris Jusoh
Hasan Malek
Abdul Latiff Ahmad
Ab. Aziz Kaprawi
Sohaimi Shahadan
Sumber: Malaysiakini
Comments