Isu Helikopter. Ini Tindakan Peguam Mat Sabu Buat Pembangkang CUAK | Musim raya ni, team cybertrooper pembangkang sebar tuduhan melampau terhadap keluarga Mat Sabu dan ini tindakan peguam beliau buat mereka semua cuak. Jom baca.
MAT SABU NI PEMAAF TETAPI…
Pihak yang cuba memfitnah Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dinasihatkan berhenti berbuat demikian.
Pengerusi Biro Undang-undang Amanah (Kanun), Mohamed Hanipa Maidin berkata, mereka yang melakukannya mungkin tidak akan terlepas di kemudian hari.
“Untuk pihak yang memfitnah beliau, saya ingin nasihati, berhentilah memfitnah. Abang Mat (Mohamad) ini bukan individu yang gemar saman menyaman orang.
“Beliau juga agak pemaaf orangnya. Tapi, jika berlebihan sangat tuduhan palsu dan fitnah, mungkin lain jadinya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, tular di media sosial kononnya Mohamad dan isteri beliau menaiki helikopter milik kerajaan untuk menyambut hari raya di Perlis.
Perkara itu kemudiannya dinafikan oleh Mohamad yang menyatakan beliau tidak berada di Perlis pada hari raya.
Menurut Mohamed Hanipa, Mohamad yang dikenalinya amat sensitif dalam menggunakan harta awam untuk kegunaan peribadi atau keluarga beliau.
“Jika diandaikan beliau alpa dan tersilap, saya yakin beliau tidak akan teragak-agak untuk meminta maaf. Bagi beliau, mengakui kesilapan bukan suatu kelemahan.
“Tetapi, dalam isu terbaru ini, beliau memang tak lakukan sama sekali dakwaan dan tuduhan jahat tersebut. Ia satu fitnah yang amat jahat ke atas beliau,” katanya. (Sumber: Sinar HarianPe,)
IBU KELAR ANAK TANPA SEDAR
Tindakan seorang ibu mengelar leher anak kandungnya berusia 19 bulan di Felda Jengka 13, Maran, malam tadi, dipercayai dilakukan tanpa sedar.
Menurut suaminya, Muhammad Rizal Jusoh, 42, perbuatan secara tiba-tiba isterinya itu berlaku ketika beliau berada di rumah dan langsung tidak menduga isterinya akan bertindak sedemikian.
Menurutnya, ibu kepada tiga anaknya itu seorang yang penyayang dan tidak pernah berkelakuan mengikut emosi.
“Saya kalau marah anak, dia akan marah saya balik, itu sebab saya tak percaya dia buat begitu. Dia tak sedar apa dia buat. Dia tak mungkin buat begini sebab saya tahu bagaimana dia jaga anak-anak.
“(Ketika itu) Saya tonton televisyen. Anak tidur depan saya,” ujarnya.
Muhammad Rizal berkata, isterinya yang baru selesai mengaji al-Quran kemudian bawa anaknya masuk bilik.
“Tak lama kemudian, saya dengar suara anak merengek lemah dan berasa pelik sedangkan dia tidur. Saya masuk bilik, tengok dia sedang kelar leher anak dengan pisau,” katanya.
Muhammad Rizal yang terkejut kemudian menolak isterinya yang dalam keadaan tidak melawan atau memberi sebarang tindak balas, seolah-olah tidak sedar.
Menurutnya, anak mereka yang berlumuran darah dikejarkan ke Hospital Bandar Pusat Jengka namun disyaki sudah tidak bernyawa sebelum tiba di sana.
“Pegawai perubatan selepas itu juga mengesahkan dia sudah meninggal dunia.
“Selepas kejadian, isteri ada juga bertanya apa yang berlaku dan siapa yang buat semua itu,” katanya lagi.
Muhammad Rizal mendakwa isterinya sering termenung dan kemurungan sejak awal Mei lalu.
Dia juga pernah membawa isterinya untuk berjumpa pakar perubatan Islam kerana bimbang terkena gangguan makhluk halus.
Jenazah kanak-kanak lelaki itu dijangka akan dibedah siasat pada jam 10 pagi ini di Unit Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Senior Asisten Komisioner Othman Nanyan ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku pada jam 8.40 malam dalam sebuah bilik di rumah keluarga itu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan, kejadian disedari bapa mangsa berusia 42 tahun yang melihat sendiri isterinya sedang mengelar anak bongsunya itu dengan pisau.
“Suspek berusia 31 tahun ditahan pihak polis untuk membantu siasatan.
“Suspek dipercayai mengalami halusinasi. Dia bagaimanpun tidak pernah menerima sebarang rawatan mental di hospital sebelum ini,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan. (Sumber: Sinar Harian)
Comments