WSJ – Ini Punca Jho Low Di Phuket Tunggu Najib Menang PRU14 | Siasatan dari wartawan WSJ mendedahkan Jho Low berada di Phuket beberapa hari sebelum PRU14. Puncanya buat ramai geram. Ikuti selanjutnya.
JHO LOW ADA DI PHUKET SEBELUM PRU14
Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, yang didakwa sebagai dalang di sebalik skandal 1MDB, berada di Phuket, Thailand beberapa hari sebelum pilihan raya umum ke-14 Malaysia, lapor The Wall Street Journal (WSJ).
Bagaimanapun, apabila keputusan pilihan raya tidak memihak Datuk Seri Najib Razak, Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low yang mempunyai hubungan rapat dengan bekas perdana menteri itu meninggalkan Thailand dan tidak dapat dikesan oleh radar, kata laporan itu.
Menurut laporan itu, Low begitu yakin bahawa dia dapat belayar bebas di sebalik pengawasan terhadapnya berhubung siasatan skandal 1MDB oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, sehingga dia “berpesta sambil mengelilingi Asia.”
“Low tidak gentar dan berpesta makan best pada Februari lalu dengan kawan-kawan selebriti di pulau perjudian Cina Macau.
“Dia menganjurkan majlis hari jadi untuk sekutunya, Eric Tan, yang menurut DOJ terlibat dalam skandal 1MDB, pada bulan Februari di hotel Macau, itu,” kata sumber yang rapat dengan penganjuran pesta berkenaan.
JHO LOW BERPESTA BERSAMA RAKAN
Produser hip-hop Swizz Beats dan penyanyi Nicole Scherzinger juga diterbangkan khas ke pulau itu untuk menghiburkan mereka.
“Dia (Low) berada di Phuket bulan ini kerana menjangkakan kemenangan Najib, sekutunya, kata sumber itu. (Namun) sejak pilihan raya, menyedari perkembangan tidak lagi memihaknya, Low mula meninggalkan Thailand dan mengambil sikap lebih berhati-hati,” kata laporan itu.
Menurut DOJ, sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan dari 1MDB termasuk melalui sistem kewangan AS dan telah memulakan tindakan undang-undang untuk mendapatkan danan itu semula.
Memetik sumber, WSJ melaporkan Low terus berhubungan dengan Najib secara langsung dan dengan mereka yang kenalan rapat mereka pada hari-hari menjelang PRU14.
“Hubungan rapatnya dengan Najib, yang telah berkuasa hampir sedekad, membuatnya beranggapan dirinya adalah kebal, kata sumber itu.
“Peranan Low, kata mereka, adalah untuk membantu Najib membendung skandal 1MDB selepas ia didedahkan pada tahun 2015, khususnya melalui laporan yang diterbitkan oleh Wall Street Journal. Untuk itu, Low bergantung kepada sekutunya di China.
JHO LOW ADA BODYGUARD DAN ADA 6 PHONE BERBEZA
“Di China dan di sekeliling Asia, Low menikmati status istimewa dan mendapat perlindungan walaupun selepas skandal itu bocor. Dia bergerak dengan pengawal peribadi yang dikatakan dibekalkan oleh Beijing. Dia membawa lebih daripada enam telefon, masing-masing untuk kenalan berbeza di seluruh dunia,” petik laporan itu.
WSJ sebelum ini melaporkan mengenai dana RM2.6 bilion yang berada dalam akaun peribadi Najib, yang didakwa berasal dari 1MDB.
Namun bekas perdana menteri itu menafikan sebarang salah laku dan berkata bahawa wang tersebut adalah daripada seorang penderma Arab Saudi dan mendakwa sebahagian daripadanya telah dikembalikan.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali juga membebaskan Najib dari sebarang salah laku mengenai perkara itu. (Sumber: Malaysiakini)
FAIZ – “NAJIB, HENTI BERBOHONG KATA 1MDB ITU FITNAH”
ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil mengingatkan Datuk Seri Najib Razak bahawa kenyataan bekas perdana menteri itu kononnya kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 berpunca daripada fitnah parti pembangkang jauh meleset daripada fakta sebenar.
“Najib seharusnya bersikap lebih jujur dalam mempertahankan dirinya daripada siasatan yang sedang dijalankan sekarang dan bukannya berbohong kepada rakyat kononnya beliau difitnah.
“Sikap lidah bercabang Najib ini ternyata memperlihatkan kerisauan beliau berhadapan siasatan yang dijalankan,” kata Faiz yang juga adalah ketua pemuda AMANAH, dalam satu kenyataan media.
Susulan serbuan berterusan ke atas hartanah dan pejabat yang dikaitkan dengan Najib minggu lalu, bekas pengerusi BN dan presiden Umno itu ketika berucap kepada para penyokongnya di Pekan, semalam mendakwa kekalahan BN berpunca daripada ‘fitnah’ Pakatan Harapan.
Najib turut mempersoalkan sama ada siasatan 1MDB terhadap beliau dijalankan secara telus.
Mengulas dakwaan itu, Faiz berkata skandal 1MDB adalah berdasarkan fakta yang gagal disangkal oleh Najib dan pentadbirannya.
“Isu-isu skandal korupsi berskala mega yang menyelebungi pentadbiran Najib sebelum ini terutama skandal 1MDB adalah berdasarkan fakta benar yang gagal disangkal secara positif oleh dirinya.
“Ini yang akhirnya telah membangkitkan semangat rakyat terbanyak menolak BN,” katanya.
Beliau menjelaskan hutang 1MDB sehingga mencecah RM50 bilion, seperti yang disebut oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016, ditanggung oleh pembayar cukai dan bukannya 1MDB, yang membuktikan bahawa wang negara telah disalahgunakan.
“Ini adalah kerana sebahagian besar hutang tersebut tidak dibelanjakan untuk projek-projek 1MDB tetapi hilang tanpa penjelasan konkrit.
“Sebagai contoh, laporan PAC tersebut mengesahkan bayaran AS$3.5 bilion (RM14 bilion) dibayar kepada syarikat palsu Aabar Investment PJS Ltd, Najib sebagai pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB sudah pasti mengetahui fakta ini tetapi gagal menyangkalnya,” katanya.
Faiz juga berkata, bekas perdana menteri itu gagal mencabar saman pelupusan sivil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk merampas aset yang didakwa diperoleh menggunakan dana yang diselewengkan dari 1MDB.
“Najib juga hingga kini masih gagal menyaman Wall Street Journal (WSJ) jika benar skandal 1MDB suatu fitnah terhadap beliau walaupun telah berjanji melakukannya pada hari Selasa.
“Menjelang esok, sudah berlalu 151 kali Selasa, namun saman tidak juga kunjung tiba,” katanya.
Saman pelucutan DOJ itu berulang kali menyebut “Malaysian Official 1″ sebagai tokoh penting dalam jejak wang 1MDB, dan bekas menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengakui pegawai itu adalah Najib. (Sumber: Malaysiakini)
Comments