TERKINI. Kenyataan Berani Rais Yatim Ini Buat Ramai Ahli UMNO Cuak | Rais Yatim baru-baru ni semakin menyerlah. Kenyataan berani beliau yang terkini ni buat ramai ahli UMNO mula cuak.
UMNO TETAP PARTI HARAM
Tan Sri Rais Yatim mengulangi pendiriannya bahawa Umno tetap parti haram meskipun sudah mengadakan pemilihan baru-baru ini.
Bekas veteran Umno itu berpendapat surat penangguhan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetap tidak boleh dikira sehinggalah mahkamah memberi suatu penghakiman yang sahih.
Menurut Rais ini kerana surat ROS itu dianggap tidak sah, kecuali dibuat pindaan pada Seksyen 14, Akta Pertubuhan 1966 untuk membenarkan perkara itu.
“Biar Majlis Tertinggi memohon panduan perundangan, supaya kuasa pendaftar bawah Seksyen 14, Akta Pertubuhan dapat diberi penghakimannya yang sahih,” katanya.
Seksyen 14 Akta ROS merujuk kepada maklumat yang perlu diberikan oleh pertubuhan-pertubuhan, perintah pendaftar (ROS) supaya maklumat diberi, pendaftar (ROS) meluluskan audit dan perintah sementara (ROS) untuk pembubaran.
Pertikai Surat ROS
“Jika diiktiraf kuasa ROS, maka pindaan kepada Seksyen 14 Akta Pertubuhan sekurang-kurangnya harus dipinda iaitu mengatakan apa-apa pemanjangan yang dibenarkan ROS bersabit parti politik atau pertubuhan adalah sah.
“Jika itu tidak ada, surat ROS itu saya pertikaikan tidak sah sebab kuasa perlembagaan parti lebih besar daripada surat (penangguhan ROS).
“Jika begitu buat apa kita ada perlembagaan, habis satu fasa sambung lagi, habis satu fasa sambung lagi, jika ini berlaku maka jahanamlah parti politik itu di bawah telunjuk seseorang pegawai yang mengepalai persatuan iaitu ROS,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, Khamis lalu.
Menjelang PRU14, Rais berkata Umno mesti mengadakan pemilihannya selewat-lewatnya, pada 19 April 2018.
Rais juga menggesa anggota Majlis Tertinggi Umno supaya tidak memandang remeh soal perlembagaan dan mendapatkan pengisytiharan mahkamah sama ada tindakan parti itu menangguhkan pemilihannya adalah sah.
Sebelum pemilihan parti 30 Jun lalu, kali terakhir Umno mengadakan pemilihannya adalah pada 19 Oktober 2013.
Menurut Fasal 9.3 perlembagaan Umno, Majlis Tertinggi hendaklah dipilih setiap tiga tahun, dengan lanjutan tambahan 18 bulan dibenarkan di bawah Fasal 10.16.
Justeru katanya, sekiranya Fasal 10.16 itu dicabul, maka pemilihan tersebut juga tidak sah dan ia perlu dibawa ke mahkamah tinggi bagi mendapatkan keputusan berkaitan status Umno.
Najib, pada Jun 2015, mengumumkan bahawa pemilihan parti akan ditangguhkan, kerana Umno perlu bersiap sedia untuk pilihan raya umum.
Bagaimanapun, Umno menangguhkan lagi pemilihan parti itu untuk kali kedua dari 19 April 2018 ke 30 Jun 2018.
Pemilihan Umno minggu lalu menyaksikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden baru manakala Timbalannya ialah Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menyaksikan kekalahan BN, susulan daripada itu Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan presiden Umno dan juga pengerusi BN.
‘Akar Umbi Umno Tak Mahu Perubahan’
Sementara itu, Rais berkata pemilihan Umno kali ini menunjukkan akar umbi parti itu tidak mahu perubahan sebaliknya hanya sambungan kepada pemerintahan Najib.
Namun sekiranya Khairy Jamaluddin atau Tengku Razaleigh Hamzah dipilih, sudah tentu memperlihatkan perubahan dalam Umno.
“Saya fikir bahagian tak nak berubah sebab mereka fikir dalam zon selesa jadi mereka tak nak keluar kepompong itu. Mereka nak setiap bulan dapat duit, ada duit ada kerja. Tak ada duit diam dulu.
“Ini bukan yang kita maksudkan ketua bahagian masa depan kita tak payah bayar duit. Dia kerja sukarelawan tapi ini tak ada. Dan parti politik yang tak ada ini akan hancur masa depannya,” katanya.
Rais turut menyarankan, jika Umno ingin berubah, parti itu perlu terbuka menerima teguran serta jawatan presiden, ketua bahagian dan cawangan parti itu haruslah diganti setiap dua penggal. (Sumber: Malaysiakini)
JAMAL DIDENDA RM400 PECAH BOTOL ARAK DEPAN SUK SELANGOR
Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos hari ini mengaku bersalah atas kesalahan melakukan mudarat awam di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.
Ia bagi kesalahan bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan berkenaan tindakannya memecahkan sejumlah botol arak dengan penukul besi di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 5 Oktober lalu.
Menurut Bernama, Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman denda RM400 atau sebulan penjara, selepas Jamal menukar pengakuannya daripada tak bersalah kepada bersalah.
Dia yang sebelum ini ditahan di Penjara Sungai Buloh hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja biru dan berjaket hitam, serta dikawal ketat oleh 20 pegawai dan 40 anggota polis.
Pada 25 Mei lalu, Jamal dihadapkan dengan dua pertuduhan melakukan mudarat awam namun melarikan diri ketika proses ikat jamin.
Selepas lebih sebulan bersembunyi, dia kemudian ditahan 2 Julai lalu di Jakarta Selatan oleh polis Indonesia dan dihantar pulang tiga hari kemudian.
Selain dua tuduhan mudarat awam, dia juga didakwa atas kesalahan melarikan diri daripada tahanan polis ketika dibawa Mahkamah Majistret Ampang sebaik tiba dari Indonesia.
Dia mengaku tidak bersalah untuk pertuduhan itu.
Mahkamah tidak membenarkan permohonan ikat jamin dan mengarahkannya ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu sebutan kes pada 30 Julai ini. (Sumber: Malaysiakini)
Comments