Nikah Budak 11 Tahun. Lepas Lama Berdiam Diri, Si Suami Tampil Beritahu KISAH SEBENAR | Negara dikejutkan apabila seorang lelaki dari Kelantan nikah dengan isteri ketiga yang berusia hanya 11 tahun. Wartawan berjaya temuinya dan dia tampil beritahu kisah sebenar. Ikuti wawancaranya.
HANYA NIKAH GANTUNG, TANDA “IKAT” SAHAJA
Keputusan peraih getah sekerap berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun di Selatan Thailand itu hanyalah tanda ‘ikat’ sahaja.
Menurut lelaki yang berusia 41 tahun itu, dia mengakui perkahwinan berkenaan yang berlangsung pada 4 Syawal lalu namun hanya melibatkan nikah gantung sahaja.
Katanya, dia juga sudah merujuk kepada orang yang lebih arif di negara jiran itu sebelum melaksanakan pernikahan.
“Saya mengenali isteri ketiga saya sudah lama dan saya menyembunyikan pernikahan ini untuk mengelakkan terjadinya perselisihan faham bagi dua isteri lain.
“Saya nikah gantung dan tidak tinggal bersama isteri ketiga. Dia masih berada di bawah jagaan ibu bapanya dan kami sudah berjanji, akan mengambil isteri saya apabila dia cukup umur.
“Perkara ini tidak salah kerana saya sudah rujuk mereka yang lebih arif di Selatan Thailand. Janganlah menyalahkan saya dan mengaibkan kami,” katanya.
Lelaki berkenaan memiliki enam anak hasil perkongsian hidup bersama isteri pertama dan kedua.
Semalam, kisah dia menikahi kanak-kanak berusia 11 tahun apabila isteri keduanya, memuat naik perkongsian di laman sosial Facebook serta foto perkahwinan suaminya.
Difahamkan, isteri ketiganya itu merupakan kenalan kepada anaknya dari hasil perkahwinan bersama isteri pertama.
Bagaimanapun, setelah kisah ini ditularkan, isteri keduanya memadam kesemua perkongsian berkenaan. (Sumber: Sinar Harian)
ISTERI PERTAMA HANYA TAHU BILA RAKAN BAGITAU
Ibu anak empat, melahirkan rasa terkilan dengan tindakan suaminya berkahwin dengan kanak-kanak berusia 11 tahun.
Menurut wanita yang berusia 34 tahun itu, dia hanya mengetahui perkara berkenaan setelah dimaklumkan rakannya dengan perkongsian foto perkahwinan suami.
Katanya, difahamkan, suaminya bernikah dengan kanak-kanak itu di Thailand, pada 4 Syawal lalu.
“Remuk hati saya bila menerima perkongsian foto itu kerana sebelum ini, saya pernah bertanya selepas diberitahu kenalan terdekat mengenai hubungan mereka.
“Tapi, dia kata tidak logik untuknya bercinta dengan kanak-kanak. Bila saya bertanya selepas menunjukkan foto berkenaan, pada awalnya dia tidak mengaku.
“Namun akhirnya dia mengaku dan memberitahu Rasulullah SAW mengahwini Siti Aisyah di usia sembilan tahun,” katanya sebak.
Namun, katanya perkongsian di laman sosial Facebook miliknya itu bukanlah untuk ditularkan.
“Saya sudah merujuk kepada pihak yang lebih arif dalam kes ini.
“Biar mereka yang tentukan kes ini,” katanya.
Sementara itu, memetik portal berita Mstar, wanita berkenaan berkata dia tidak terkejut dengan tindakan suaminya itu kerana pernah terdengar desas-desus suaminya akan berkahwin lagi sebelum ini.
“Suami pun pernah kata tak mungkin dia akan kahwin dengan budak. Jadi saya dan isteri pertama pun fikir perkara yang sama.
“Namun saya tak sangka perkara itu benar-benar terjadi. Kalau dengan anak dara atau wanita yang lebih berusia saya boleh terima.
“Saya sendiri pernah nak pinangkan seorang wanita untuk suami tetapi dia tolak. Yang buat saya marah sebab dia kahwin dengan kawan sepermainan anak saya,” katanya.
Ketika ditanya mengapa dia berkongsi kisah itu di media sosial, wanita berkenaan berkata tidak berniat untuk mengaibkan suaminya.
Sebaliknya, dia mahu suaminya itu menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga.
“Saya mahu perkara ini diselesaikan mengikut undang-undang. Saya dan isteri pertama sanggup terima madu kami sekiranya dia menjalankan tanggungjawab dengan baik, “ katanya.
Berita mengenai perkahwinan lelaki itu dengan budak perempuan 11 tahun menjadi bualan hangat netizen selepas perkara itu dikongsi isteri beliau sendiri.
Rata-rata netizen mengecam perbuatan lelaki tersebut yang sanggup berkahwin dengan budak perempuan bawah umur. (Sumber: Sinar Harian)
HASIL SIASATAN SYED AZMI
Kisah perkahwinan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dengan seorang lelaki 41 tahun yang tersebar di media sosial turut mendapat perhatian aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi.
Melalui kemas kini status di laman Facebook, Syed Azmi mendedahkan berjaya mendapat maklumat tentang kisah perkahwinan itu melalui kenalan lelaki tersebut awal pagi tadi.
Syed Azmi berkata dia melihat beberapa isu perlu diambil peduli terutama hak kanak-kanak perempuan tersebut.
“Masalah utamanya budak tersebut baru 11 tahun. Siapa sebenarnya nak lindungi hak dia? Dalam banyak-banyak benda nak lindungi, budak perempuan 11 tahun ini pula muat naik status yang mempertahankan pilihannya dan mencabar kedua-dua madunya.
“Sikap macam ini bagaimana pula, lagi-lagi dengan sokongan ibu bapa kedua-dua pihak. Tapi kita tak boleh salahkan dia. Dia tidak dapat pendidikan dan itu salah kita. Dia mudah dipengaruhi dan dieksploitasi,” katanya.
Syed Azmi sempat memohon agar majlis agama melihat isu ini bukan sahaja daripada segi agama tetapi daripada segi hak kanak-kanak tersebut.
“Kalau kita tak bagi kahwin atau tak daftarkan perkahwinan itu lagi teruk tapi hak kanak-kanak itu serta bakal anak-anaknya nanti perlu dilindungi juga. Kalau cerai macam mana nanti?
“Faktor dikahwinkan kerana bercinta. Kalau betul tak salah, kenapa tak kahwin saja di Malaysia. Bukan tak boleh. Undang-undang kita ada dan bagus,” katanya.
Bercerita latar belakang kisah perkahwinan itu secara panjang lebar, Syed Ali memberitahu kanak-kanak 11 tahun itu bukan warganegara Malaysia namun tidak dapat dipastikan status kewarganegaraannya.
“Suami seorang imam satu surau di kampung dihormati ramai yang juga seorang pembeli getah di kampung tersebut, berumur 40 tahun warganegara Malaysia dan mempunyai dua orang isteri.
“Budak yang berkahwin umurnya 11 tahun, anak bongsu. Ibu bapanya bekerja sebagai penoreh getah. Keluarga ini bukan warganegara Malaysia dan menjual getah pada lelaki ini. Jadi sekarang bos mereka menjadi menantu sendiri. Semua adik beradik budak ini tidak bersekolah,” katanya.
Katanya, perkahwinan budak 11 tahun dengan lelaki ini berlaku di Thailand tanpa pengetahuan kedua-dua isteri pada bulan ini dan belum berdaftar di Malaysia.
“Telah diketahui bahawa lelaki ini bercinta dengan budak 11 tahun pada bulan Mac. Kedua-dua isteri berjumpa dengan si suami untuk mendapatkan penjelasan tapi si suami kata dia tak bodoh nak kahwini budak. Jadi mereka percaya.
“Isteri pertama menerima gambar perkahwinan si suami tiga hari lepas dan berkongsi dengan isteri kedua. Si suami kata ‘Nabi dan Siti Aishah boleh berkahwin dan dia ingin mengikut sunah’,” katanya.
Dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002, Bahagian II-Perkahwinan Seksyen 8: umur minimum perkahwinan menyebut tiada sesuatu perkahwinan boleh diakadnikahkan jika lelaki itu berumur kurang daripada 18 tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada 16 tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenaran secara bertulis dalam hal keadaan tertentu. (Sumber: Sinar Harian)
Comments