Tabung Harapan. Ini Komen Che Ta Buat Ramai SENTAP | Sebanyak RM7 juta telah dikumpulkan oleh Tabung Harapan semalam. Ketika bertemu wartawan, ni komen Che Ta buat ramai sentap. Ikuti selanjutnya.
JANJI BAGI SUMBANGAN
Penubuhan Tabung Harapan Malaysia (THM) disambut baik pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan yang berjanji memberi sumbangan bagi mengurangkan beban hutang negara.
Enggan mendedahkan jumlah derma yang akan dihulur, Rozita atau mesra disapa Che Ta, 45, memberitahu apa yang dilakukan bukan paksaan, sebaliknya rasa tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia.
“Ikut kemampuan dan kalau kita rasa tak mahu beri sumbangan, tak perlu beri kerana tiada paksaan. Kalau seorang rakyat Malaysia menyumbang RM10, sudah mampu mengurangkan berjuta ringgit hutang yang ditanggung kerajaan.
“Ini juga sebagai tanda sokongan saya kepada Malaysia dan saya anggap ini sebagai amal untuk negara. Berapa pun jumlahnya, yang penting kita prihatin dan ada usaha untuk membantu negara dengan cara ini, kalau kita tidak boleh tolong cara lain,” katanya.
Tambahnya, dengan langkah kerajaan memberi pengecualian cukai kepada penyumbang, dianggap Rozita sebagai pendekataan positif bagi menggalakkan lebih ramai pihak terutama syarikat korporat menghulurkan derma.
Gembira dengan penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai hari ini, Rozita menganggap janji yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan terlaksana bagi membantu meringankan beban rakyat.
“Seronok sangat sebab rakyat tak rasa terbeban dengan cukai. Kita sebagai peniaga pun terasa walaupun cukai itu dikenakan kepada pengguna sebab kita sendiri adalah pengguna. Kalau kita yang berniaga ini pun terasa, apatah lagi ‘end user’ yang sememangnya berdepan dengan GST.
“Saya ada tiga syarikat dan bila diumumkan penghapusan GST ini, saya rasa sangat lega. Sudahlah terbeban dengan cukai pendapatan, ditambah pula dengan GST, cukup memberi kesan kepada rakyat. Semua orang akan berasa lega sebab sudah kurang satu cukai. Walaupun bersifat sementara, tetapi membuatkan kita rasa boleh bernafas sikit,” katanya.
Mengharapkan dengan pembentukan kerajaan baharu dapat memberi sinar kepada industri seni, Rozita yang ditemui pada majlis iftar anjuran syarikat Indigital dan LOL Entertainment di sini, malam tadi memberitahu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo akan bertemu penggiat seni, minggu depan.
“Saya akan pergi ke sesi taklimat itu untuk mendengar apa yang akan diperkatakan menteri. Kita nak tahu apa yang kementerian akan bantu penggiat seni.
“Saya harap ada khabar gembira yang akan disampaikan sebab saya bukan saya pelakon, tetapi juga mempunyai syarikat produksi. Saya harap ada peluang untuk saya (terbitkan kandungan) di RTM selepas hampir tiga tahun produk saya diketepikan.
“Saya tidak mengharapkan apa-apa jawatan dalam industri seni. Cukuplah sekadar pembelaan kepada orang seni seperti saya daripada kerajaan baharu yang dibentuk.
“Cukuplah bidang kerja yang saya ada sekarang ini, tak perlu tambah kekusutan dengan jawatan lain,” katanya. (Sumber: Berita Harian)
CHE TA RESAH BERAT BADAN ZAIN NAIK
KETIKA bertemu Zain Saidin, baru-baru ini, pelakon Oh My English! yang terkenal dengan watak Henry Middleton itu nampak berisi.
Suami kepada selebriti jelita, Rozita Che Wan, mengakui keadaannya itu mengundang resah buat isterinya, malah, katanya, beliau sering `dileterkan’ oleh Rozita disebabkan berat badannya yang sudah bertambah itu.
“Saya memang risau dengan berat badan dia sekarang,” kata Rozita yang lebih mesra dengan panggilan Che Ta.
“Dia (suami) memang selalu cakap saya berleter pasal hal itu. Zain bagi alasan sebab pembedahan lutut, dia tak boleh bersenam. Tapi nafsu makannya boleh tahan juga.
“Jadi saya cakap dengan dia, janganlah makan banyak. Itu antara dialog saya dengan Zain saban hari di rumah. Saya ini jenis manusia yang tak suka kalau lihat sesuatu itu tak sempurna. Contoh kalau kusyen sofa itu tak betul kedudukannya, saya kena betulkan.
“Perkara ini juga saya praktikkan dalam hal jaga badan. Ketika saya mengandungkan Aaisyah Dhia Rana, badan saya naik sampai 90 kilogram. Jadi, selepas itu saya usaha untuk kuruskan badan balik, jaga pemakanan.
“Bukan masalah pun. Hendak seribu daya, cuma saya memang tak ada masa nak bersenam, nak buat sit up atau push up contohnya. Saya tahu sit down (duduk) sahaja,” katanya.
Tapi, Rozita berkata, suaminya tidak akan melakukan sesuatu perkara tanpa kerelaan sendiri.
“Dia tak akan buat kalau kita desak atau paksa. Tetapi, macam inilah saya. Saya akan cakap depan-depan. Prinsip saya, bercakaplah benar walaupun ia menyakitkan. Kalau dia naik badan, memang saya cakap.
“Saya tak akan cakap manis di depan, belakang umpatan sebakul. Kalau tak elok, memang saya cakap tak elok. Orang mungkin akan anggap saya ini jenis obses kecantikan. Terpulanglah kalau ada yang anggap sebegitu. Tetapi kita cantik pun untuk kebaikan diri sendiri,” katanya.
Rozita turut ditanya mengenai kecantikannya yang sering dipersendakan. Tak kurang juga yang melihat Rozita seperti ‘dumb blonde’. Pengetua Akademi Fantasia 2015, Edry Abdul Halim, juga menyifatkan komen Che Ta ketika menjadi juri tetap program realiti itu sebagai tidak berasas dan tiada impak.
Tidak cepat melenting atau melatah dengan tanggapan begitu, Rozita bersikap terbuka.
“Saya jenis manusia yang sangat positif. Saya tak cepat melenting. Mulut orang boleh terus cakap itu dan ini. Mana kita boleh tutup mulut sebegitu. Macam di AF 2015, mungkin orang tak faham kenapa saya berada di situ. Saya diambil pihak Astro sebagai mewakili orang awam. Saya mengeluarkan pandangan daripada sudut makcik di luar sana sebagai contohnya,” katanya.
Rozita bagaimanapun mengambil keputusan menarik diri daripada rancangan itu dan pergi bercuti ke Sydney, Australia, hingga mengundang cerita Che Ta bercuti kerana membawa diri gara-gara kontroversi yang timbul ekoran penarikan dirinya daripada AF 2015.
Menafikan dia membawa diri, Rozita menjelaskan percutian bersama suami dan anak itu sudah dirancang lebih awal. Buat pertama kali juga, percutian pada September lalu, diiringi jurugambar profesional yang ditugaskan merakam detik mereka sekeluarga di sana.
Pasangan yang berkahwin pada Disember 2013 itu, antara yang kerap berkunjung ke luar negara. Ia umpama terapi buat Rozita sendiri selepas penat bekerja, termasuk menguruskan perniagaan di ibu kota.
“Kalau boleh, setiap bulan saya nak pergi bercuti. Insya-Allah, bulan depan kami tengah nak cari masa lapang untuk ke Santorini, Athens dan Istanbul pula. Tengoklah nanti macam mana,” katanya.
Sambil berseloroh, Rozita memberitahu setiap bulan juga, beliau melihat ruang bercuti ini sebagai peluang berbulan madu.
“Jangan Zain cari madu lain sudahlah,” usik Rozita.
Mengenai keputusan membawa jurugambar ke Sydney itu, Rozita berkata, ia memudahkan beliau sekeluarga bercuti tanpa perlu memikirkan sudut terbaik untuk merakam gambar percutian.
“Senang cerita, kita bercuti `pose’ sahaja dan ada orang ambilkan gambar. Nak harap ambil gambar sendiri, nanti macam-macam boleh jadi dan serba tak kena. Gambar sengetlah… itulah… inilah. Tak payah nak pegang telefon bimbit atau kamera. Kita serahkan kepada yang pakar,” katanya.
Bercerita mengenai kerjaya seni, Rozita mengakui dunia lakonan kini bukan lagi menjadi keutamaannya.
“Nak berlakon rasa malas sebenarnya. Apabila sudah lama tak berlakon, rasa lakonan saya itu sangat palsu. Saya sendiri geli tengok lakonan sendiri. November depan, saya sepatutnya ada penggambaran dengan Zeel Productions milik Fadzil Teh.
“Tengah berbelah bahagi lagi. Saya kena ke Langkawi sebulan untuk penggambaran itu. Nak tak nak, saya kena usung Aaisyah sekali ke sana kalau nak terima kerja lakonan itu,” katanya yang kini dilihat semakin ligat mengembangkan perniagaannya.
Rozita memberitahu, jenama tudung dan jubah Padusi miliknya bersama keluarga bakal mengikuti pertunjukan fesyen tidak lama lagi. Jenama Padusi Ready To Wear juga akan bekerjasama dengan Zalora.
ROZITA Che Wan mengakui dunia lakonan kini bukan lagi menjadi keutamaannya. – Foto Nur Adibah Ahmad Izam
Bulan ini, minyak wangi jenama Gorgeous by RCW miliknya pula akan dipasarkan. Sebelum ini, minyak wangi Precious by RCW mendapat sambutan memberangsangkan.
Dalam tempoh sebulan, kata Rozita, mereka mengeluarkan 140,000 botol minyak wangi dan ia masih tidak mampu memenuhi permintaan.
“Minyak wangi saya setakat ini memang tak dijual di kedai atau premis perniagaan. Saya membuka peluang perniagaan kepada orang ramai untuk menjadi stokis atau ejen.
“Ia umpama hobi buat mereka, tetapi pada masa yang sama, dapat memberi ganjaran duit serta rezeki. Paling kurang pun, mereka yang jadi stokis dan ejen boleh buat duit sebulan dalam RM2,000 ke RM3,000,” katanya.
Pada masa yang sama, Rozita juga merancang untuk menyediakan tempat menganjurkan majlis tertentu, termasuk perkahwinan. Kawasan seluas dua hektar berserta banglo di Damansara itu diberi nama White Palace.
“Saya sewa, nak beli, tak mampu lagi,” katanya. (Sumber: Berita Harian)
Comments